Insya Allah, kali ini saya tertarik
untuk mengulas artikel yang bertajuk “Perjuangan Memartabatkan Bangsa
Fasa Awal Amal Islami” yang telah ditulis oleh Dr Zaki Ibrahim,
Pengerusi ISMA Australia. (link)
PERTAMA
Penulis menyatakan sebagai muqaddimah :
Apabila
ramai orang mula mempertikaikan usaha memartabatkan bangsa, tidak
bernilai dan tidak perlu dijuangkan. Boleh dilelong… malah dikatakan
memperjuangkan bangsa adalah HARAM! Inilah kalimah-kalimah yang popular
yang kita dengar.
Kemudian penulis menyatakan lagi :
Kedudukan
umat Melayu yang merupakan kelompok terbesar di negara ini mula diragui
peranan dan keistimewaan mereka. Kenapa isu ini muncul? Siapa yang
memalu gendang? Kedudukan Melayu dalam perlembagaan bukankah telah
disepakati bersama?
- sila baca artikel sehingga habis -
Perhatikan petikan “Kedudukan Melayu dalam perlembagaan bukankah telah disepakati bersama?”
Di dalam memahami situasi ini, kita perlu tahu untuk membezakan di antara “memperjuangkan hak” dan “memperjuangkan Islam”.
1. Memperjuangkan hak
Memperjuangkan hak ini terbahagi kepada 2 jenis, iaitu :
a) Memperjuangkan hak beragama
Maka, di dalam firman Allah berbunyi :
لاَ إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ
Tidak
ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata
kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). (Surah al Baqarah : 256)
Ulama
menafsirkan bahawa maksud daripada ayat ini ialah, orang bukan Islam,
berhak untuk menganut agama asalnya. Tetapi orang Islam, tiada hak untuk
murtad. Saya menganggap perkara ini sudah jelas, dan tidak perlu
dihuraikan secara panjang lebar.
b) Memperjuangkan hak hidup
Perjuangan
hak hidup contohnya seperti hak bersuara, hak mengundi, hak berfikir,
hak untuk bercucuk tanam dan sebagainya. Hak-hak ini diperjuangkan oleh
mana-mana agama dan bangsa pun, atas nilai kesedaran dan sensitiviti.
Adakah
kita tidak perlu menghiraukan golongan Non-Muslim memperjuangkan hak
mereka untuk bersuara? Adakah mereka tidak berhak untuk “bersama dengan
Islam” walaupun mereka bukan Islam? Adakah mereka tidak berhak untuk
mendiami Malaysia? Adakah Malaysia ini untuk “Melayu” sahaja?
Hakikatnya,
dalam Islam juga meraikan hak orang lain, samada dalam aspek beragama,
ataupun urusan hidup. Islam membenarkan orang beragama Kristian, untuk
terus dengan agamanya, begitu juga dengan agama-agama yang lain. Islam
juga memperjuangkan hak sesebuah bangsa, supaya tidak dikelaskan sebagai
kelas bawahan.
Di
dalam sejarah, antara golongan yang memperlekehkan bangsa lain ialah
Bangsa Qibti, yang sudah mendiami di Mesir begitu lama. Kemudian, pada
Zaman Nabi Yusof AS, baginda AS telah membawa masuk Bani Israel ke bumi
Mesir.
Bangsa
Qibti menganggap bahawa Bani Israel adalah golongan bawahan, disebabkan
mereka mengatakan Qibti lebih berhak berada di Mesir. Manakala Bani
Israel pula ketika itu, hilang sensitiviti mereka untuk menuntut hak
mereka, sehinggalah hak mereka diperjuangkan oleh Nabi Musa AS.
Apa
yang saya maksudkan di sini ialah “sensitiviti menuntut hak”. Ketika
kelahiran Nabi Musa AS, semua anak Bani Israel dibunuh, dalam keadaan
mereka terpaksa merelakan anak mereka dibunuh oleh golongan Qibti. Ke
manakah sensitiviti mereka? Adakah sehingga anak sendiri dibunuh pun,
mereka masih berdiam diri.
Penulis menyatakan :
Kedudukan umat Melayu yang merupakan kelompok terbesar di negara ini mula diragui peranan dan keistimewaan mereka.
Penulis
berhujah bahawa Melayu perlu “diistimewakan” daripada bangsa lain,
disebabkan Melayu adalah “kelompok terbesar”. Saya berharap agar penulis
boleh meletakkan sandaran terhadap kenyataan ini.
Nabi SAW bersabda :
ليس
لأحد فضل على أحد إلا بدين أو تقوى، الناس كلهم بنو آدم وآدم من تراب، لا
فضل لعربي على عجمي، ولا لعجمي على عربي، ولا لأبيض على أسود، ولا لأسود
على أبيض إلا بالتقوى
Tiada seorang
pun yang lebih mulia daripada orang lain, melainkan berdasarkan
agamanya, dan taqwanya. Manusia semuanya adalah keturunan Nabi Adam AS,
dan Nabi Adam AS daripada tanah. Tiada kelebihan pun bagi Bangsa Arab
berbanding Bangsa Non-Arab. Begitu juga tiada kelebihan pun bagi Bangsa
Non-Arab berbanding Bangsa Arab. Tiada kelebihan pun bagi orang yang
berkulit putih, berbanding kulit hitam. Begitu juga tiada kelebihan pun
bagi kulit hitam berbanding kulit putih,.. melainkan dengan taqwa.
(Majma’ Zawa’id / 266)
Saya agak tertarik dengan sebuah hadis Nabi SAW yang menggabungkan hak-hak yang perlu diraikan oleh seorang muslim, iaitu :
إِنَّ لِرَبِّكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَلِنَفْسِكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَلِأَهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا فَأَعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ
Sesungguhnya
bagi Tuhanmu, wajib ke atas kamu menunaikan hakNya. Bagi tubuh kamu,
wajib ke atas kamu menunaikan haknya. Dan bagi ahli keluarga kamu, wajib
ke atas kamu menunaikan haknya. Maka, tunaikanlah hak kepada mereka
yang berhak. (Shahih Bukhari : 5674)
KEDUA
Penulis menyatakan :
7.
Umat Melayu pada ketika itu memperjuangkan asas seruan Rasul iaitu
dakwah. Mereka mengagendakan bangsa mereka mereka dengan agenda dakwah.
Mereka bukan perjuangkan Melayu tetapi ISLAM dan mereka bertindak
sebagai kelompok pembawa risalah dakwah.
8.
Inilah ketuanan Melayu yang menjadikan musuh Islam datang dan menyusun
agenda untuk mencipta identiti baru kepada umat Melayu. Akhirnya
muncullah umat Melayu yang tidak beragenda dan mudah di“politik”kan.
Generasi “Melayu Baru” inila yang kita warisi
Penulis
mengaitkan dengan sejarah Tanah Melayu, di mana Bangsa Melayu ketika
itu naik, kerana memperjuangkan Islam. Setelah beberapa lama Bangsa
Melayu hidup di Tanah Melayu, akhirnya Melayu diserang atas dasar agama
Islam yang mereka pegang.
Cuma,
kenapakah disebabkan dalil ini, penulis perlu memperjuangkan Bangsa
Melayu? Sedangkan Bangsa Melayu ketika itu berpegang dengan Agama Islam,
yang menolak “nasionalisme”. Manakala Melayu sekarang sangat
terpengaruh dengan “nasionalisme”. Maka, Bangsa Melayu jatuh disebabkan
nasionalisme yang mereka pegang.
Penulis sendiri menyatakan :
Mereka bukan perjuangkan Melayu tetapi ISLAM dan mereka bertindak sebagai kelompok pembawa risalah dakwah
Sedangkan
apa yang penulis perjuangkan ialah Bangsa Melayu itu sendiri, dan
ketuanan Melayu. Sejarah Melayu menceritakan bahawa mereka berkembang
pesat disebabkan mereka bukan memperjuangkan Ketuanan Melayu, sebaliknya
mereka memperjuangkan Islam.
Lihat apa yang dikatakan oleh Saidina Umar al Khattab :
إنَّا كنَّا أذل قوم، فأعزَّنا الله بالإسلام، فمهما نطلب العز بغير ما أعزنا الله أذلنا الله
Kita
adalah bangsa yang hina, lalu Allah memuliakan kita dengan Islam. Walau
mana sekalipun kita mencari kemuliaan dengan apa yang Allah muliakan,
maka kita akan dihina oleh Allah (Mustadrak : 207)
Penulis
menyatakan dengan jelas bahawa Bangsa Melayu perlu dimartabatkan.
Dengan cara apakah Bangsa Melayu boleh dimartabatkan? Iaitu dengan cara
berpegang dengan Islam. Antara pemikiran yang ditolak oleh Islam ialah
“nasionalisme”.
Dr Wahbah Zuhaili menyatakan bahawa Nasionalisme itu ialah :
رابطة
تنظيمية تؤلف بين جماعة تعيش في رقعة ذات حدود جغرافية متعاونة في تدبير
شؤونها ومصالحها المشتركة، دون انعزال عن الأقوام الأخرى التي تقيم في
رقعات أرضية أخرى، فهي دعوة للتعارف والتآلف بين القوميات المتعددة
المنتشرة في بقاع العالم، وليست دعوة للانعزال أو التعصب (1) ، وبعبارة
أخرى: هي أن القومية في كل صورها الحديثة تتنافى مع مبادئ الإسلام، لأن
الإسلام يقرر مبدأ المساواة التامة بين الناس، ويقيم وحدة المسلمين على
أساس الأخوة أو الاشتراك في عقيدة واحدة ونظرة أخلاقية واحدة تسمو فوق
اعتبارات الجنس والنشأة واللغة
Satu
ikatan yang bersistem, yang menggabungkan di antara kelompok-kelompok
yang hidup di sesebuah kawasan berdasarkan sempadan geografi,
bersama-sama dalam mentadbir urusan mereka, dan keperluan berkongsi
sesama mereka. Tanpa mengasingkan diri daripada bangsa-bangsa yang lain,
yang mendiami kawasan geografi yang lain. Maka, ia (nasionalisme) ialah
seruan untuk saling mengenalkan dan mengeratkan di antara bangsa-bangsa
yang berbilang-bilang di tempat-tempat di dunia, bukanlah seruan kepada
pengasingan diri atau ta’assub. Dalam erti kata lain : iaitu
Nasionalisme dari perspektif moden bercanggah dengan asas-asas Islam,
kerana Islam berpaksikan di atas hak kesamarataan yang menyeluruh di
antara manusia, dan menegakkan kesatuan Islam di atas persaudaraan, atau
persamaan Akidah yang satu, dan perspektif akhlak yang satu,
ditinggikan melebihi jenis, sejarah dan bahasa. (Fiqh Islami Wa
Adillatuhu : 8/425)
Dr
Wahbah Zuhaili menyatakan bahawa Islam menilai dari sudut Agama dan
Taqwa berbanding perbezaan jenis, asal usul bangsa, bahasa, warna kulit
dan sebagainya.
KETIGA
Setelah
saya mengamati artikel tersebut, penulis agak kehilangan isi, dan
menulis artikelnya tanpa susunan yang baik. Dengan muqaddimah yang agak
panjang, di akhir artikel (point ke 12 ke atas), barulah beliau
mengaitkan dengan tajuk yang ingin ditulis. Iaitu tentang “Memartabatkan
Bangsa”.
Beliau ada menyatakan :
Islam lemah di tanah Arab kerana Arab lemah.
Islam lemah di Turki kerana bangsa Turki lemah.
Islam lemah di tanah Melayu kerana Melayu lemah.
Dan begitulah seterusnya.
Kenyataan
di sini bercanggah dengan apa yang telah saya jelaskan sebelum ini.
Iaitu, sesebuah kaum itu akan mulia setelah mereka berpegang dengan
Islam (kalam Saidina Umar). Tetapi, penulis menggunakan perkataan
“lemah”.
Saya
kurang jelas apakah yang dimaksudkan dengan “lemah”. Adakah lemah dari
sudut Akidahnya? Adakah lemah dari sudut kekuatan tubuh badan? Adakah
lemah dari sudut pemikiran? Atau?
Satu
Sekiranya
penulis bermaksud “lemah” dari sudut Akidah, maka sudah pasti tersilap.
Ini kerana Bangsa Arab adalah antara golongan yang kuat pegangan
akidahnya. Iaitu berpegang teguh dengan akidah sesat mereka yang
didasari dengan asas taqlid buta (lihat ar Rahiq al Makhtum, Fasal
Diyanat al Arab, ms 20)
Kedua
Sekiranya
penulis bermaksud “lemah” dari sudut kekuatan tubuh badan, sudah pasti
tersilap. Ini kerana Bangsa Arab adalah di antara Bangsa yang kuat
berperang. (sila lihat lihat ar Rahiq al Makhtum, Fasal al Hukmu Wal
Imarat Fil Arab, ms 12)
Ketiga
Sekiranya
penulis bermaksud lemah dari sudut pemikiran, atau ilmu pengetahuan,
juga ternyata silap. Ini kerana, antara kepakaran Bangsa Arab ialah dari
sudut ukiran batu, membina rumah-rumah, menghasilkan senjata daripada
besi, membina empangan Ma’arib dan lain-lain (Ibid)
Atau?
Atau
penulis cuba menyatakan bahawa Islam lemah di Tanah Arab disebabkan
Bangsa Arab lemah keimanannya kepada Allah? Sekiranya demikian, apa
bezanya dengan Tanah Melayu? Bangsa Melayu jatuh sekiranya mereka
menegakkan bangsa mereka bukan di atas dasar Islam. Jadi, penulis
menyatakan :
Usaha
menjayakan agenda Islam yang besar hendaklah bermula dengan
membangunkan sebuah bangsa yang berpegang kuat dengan Islam. Inilah
agenda yang patut kita bersatu di atasnya. Perjuangan memartabatkan
bangsa adalah proses awal kepada fasa seterusnya dalam amal Islami yang
besar ini. Ini jauh dari kefahaman Asobiyyah yang berasaskan jahiliyyah.
Maka,
artikel ini telah menimbulkan kekeliruan. Ini kerana pada permulaannya
ingin menobatkan Bangsa Melayu, keistimewaan Melayu dan lain-lain.
Tetapi akhirnya menyatakan bahawa “perlu membangun atas dasar Islam”.
Sedangkan Islam tidak mengistimewakan Bangsa Melayu pun, melainkan atas
dasar Agama dan Taqwa.
Cuba lihat petikan bernombor 7 dan 8, yang telah saya ulas sebelum ini :
7.
Umat Melayu pada ketika itu memperjuangkan asas seruan Rasul iaitu
dakwah. Mereka mengagendakan bangsa mereka mereka dengan agenda dakwah.
Mereka bukan perjuangkan Melayu tetapi ISLAM dan mereka bertindak
sebagai kelompok pembawa risalah dakwah.
Penulis menyatakan pula...
8. Inilah ketuanan Melayu yang menjadikan….
Persoalan
saya, ke manakah arah perjuangan penulis? Adakah ingin menobatkan Islam
atau menobatkan bangsa Melayu? Atau ingin menobatkan kedua-duanya
sekali? Sekiranya ingin menobatkan kedua-duanya sekali, mengapa perlu
diistilahkan sebagai “ketuanan Bangsa Melayu?” Sepatutnya “ketuanan
Islam”.
Adakah
Nabi SAW mengobar-kobarkan seruan “ketuanan Arab”? Atau Nabi SAW
menaikkan semangat “ketuanan Islam”? Sebaliknya Saidina Umar al Khattab
sendiri menyatakan penghinaan terhadap kaum Arab sekiranya menolak
Islam.
KEEMPAT
Penulis menyatakan :
Usaha
menjayakan agenda Islam yang besar hendaklah bermula dengan
membangunkan sebuah bangsa yang berpegang kuat dengan Islam. Inilah
agenda yang patut kita bersatu di atasnya. Perjuangan memartabatkan
bangsa adalah proses awal kepada fasa seterusnya dalam amal Islami yang
besar ini. Ini jauh dari kefahaman Asobiyyah yang berasaskan jahiliyyah.
Ulasan
keempat saya adalah berkenaan dengan petikan di atas. Iaitu dengan
mengatakan “sebagai permulaan, Islam perlu dibentuk dengan membangun
sebuah bangsa yang berpegang kuat dengan Islam”. Setelah jauh menulis,
akhirnya barulah penulis “masuk tajuk”.
Persoalan
saya sebagai permulaan, kenapakah mesti membangunkan “sebuah bangsa”
terlebih dahulu? Penulis cuba mengkhususkan permulaan Islam dengan
membangunkan sebuah bangsa, bukannya “sebuah kesatuan” yang berpegang
kuat dengan Islam. Kenapa mengkhususkan “bangsa”?
Apabila
kita meneliti di dalam Sirah Nabi SAW, adakah Nabi SAW memilih Bangsa
Arab untuk disampaikan dakwah? Tidak. Pilihan Nabi SAW bukanlah
berdasarkan bangsa, sebaliknya berdasarkan hubungan persaudaraan dan
kepercayaan. (Lihat Ar Rahiq al Makhtum ms 55)
Ini
bermaksud, sekiranya di Mekah terdapat bangsa selain daripada Arab,
yang dipercayai oleh Nabi SAW, sudah pasti dia di kalangan as Sabiqun al
Awwalun. Pengukuhan akidah yang dilakukan oleh Nabi SAW di dalam
Marhalah Pertama bukanlah pengukuhan di atas dasar bangsa. (lihat Sirah
Nabawiyah Tarbiatul Ummah Wa Bina Daulah : 4/1)
Penulis menyatakan lagi :
Perjuangan memartabatkan bangsa adalah proses awal kepada fasa seterusnya dalam amal Islami yang besar ini
Di dalam Risalah Ta’lim menyatakan bahawa peringkat amal Islami terbahagi kepada 7 :
Fardul Muslim
Baitul Muslim
Mujtama’ Muslim
Tahrirul Watan
Daulah Islamiah
Khilafah Islamiah
Ustaziatul Alam
Di
manakah letaknya “fasa memartabatkan bangsa”? Adakah di dalam “mujtama’
muslim”? Yang dimaksudkan dengan mujtama’ muslim ialah sebuah kelompok
masyarakat (tidak kira apa jua bangsa) yang beragama Islam, mematuhi
perintah Allah, memerangi kemungkaran dan lain-lain.
Adakah
mujtama’ muslim boleh disamakan dengan kesatuan Melayu? Realiti yang
terjadi ialah, kesatuan Melayu berpaksikan di atas dasar nasionalisme
semata-mata. Ini kerana mereka meletakkan ketuanan bangsa, lebih tinggi
berbanding ketuanan Islam. Maka, hukum Islam diletak tepi, dan hiburan
dipopularkan. Inikah mujtama muslim?
KESIMPULAN
Pertama
Sepanjang
ulasan ini, saya dapati bahawa tiada satu pun kenyataan penulis yang
bersandar dengan dalil dan hujah. Fakta di dalam perlembagaan tersebut
juga tidak bertepatan dengan isi yang hendak disampaikan. Persoalan
“Kedudukan Melayu dalam perlembagaan bukankah telah disepakati bersama?
Dijawab dengan jawapan mentakrifkan istilah Melayu menurut perlembagaan.
Saya
juga mendapati bahawa penulis cuba mengelirukan di antara “ketuanan
Melayu” dan “ketuanan Islam”. Penulis perlu sedar bahawa Melayu bukanlah
satu-satunya bangsa yang memperjuangkan Islam satu ketika dahulu.
Lihat
bagaimana pedagang-pedagang Arab datang untuk menyebarkan Islam di
Tanah Melayu. Antara salah satu caranya ialah melalui perkahwinan. Iaitu
percampuran nasab keturunan Arab dan Melayu. Secara tiba-tiba Melayu
pula yang dikatakan hero, dalam keadaan bangsa lain tidak disebutkan.
Juga
ingin saya sebutkan bahawa serangan barat ketika terhadap Melaka,
bukanlah disebabkan ke”Melayu”annya. Sebaliknya disebabkan Islam yang
wujud di situ. Maka, para pejuang kita dahulu bukanlah berjuang atas
dasar “Melayu”, sebaliknya atas dasar menyelamatkan Islam. Tetapi
penulis tetapi menyifatkannya sebagai perjuangan Melayu.
Kedua
Kesimpulan
seterusnya, kesilapan penulis dalam menyatakan perjuangan memartabatkan
bangsa adalah marhalah pertama dalam amal Islami. Tidak perlu untuk
saya ulas panjang, sebaliknya saya mengharapkan supaya penulis
mendatangkan hujah dan dalil, bukan hanya artikel kosong.
Mana
mungkin perjuangan bangsa menjadi asas permulaan amal Islami sedangkan
tiada sesiapa pun di dunia ini yang dapat mengatakan “saya Melayu
tulen”. Ini kerana setiap bangsa, terhasil daripada campuran
bangsa-bangsa, dan kesemuanya berasal daripada Nabi Adam AS. (hujah
Ustaz Abdullah Nasih Ulwan, al Qaumiyah)
Ada
di kalangan kita yang berasal dari Arab, Jawa, Bugis, India, China dan
banyak lagi. Tiba-tiba kita mengakui kita adalah Melayu tulen. Wajarkah
kita meletakkan perjuangan memartabatkan Melayu adalah marhala pertama?
Tiga
Sepertimana yang saya sebutkan, penulis menulis artikel tanpa menyertakan dengan hujah dan dalil, contohnya :
a) 2.
Hari ini irama Ketuanan Melayu dimainkan. Orang UMNO dianggap
mempertahankan Melayu, orang PAS mempertahankan Islam, manakala orang
PKR mempertahankan hak bersama dan keadilan sejagat. Inilah sifat dan
mentaliti 0rang politik
Bagaimanakah
“mempertahankan Islam” boleh disifatkan sebagai mentaliti orang
politik? Bagaimanakah pula “mempertahankan hak bersama dan keadilan
sejagat” disifatkan sebagai mentaliti orang politik? Bukankah itu semua
telah dijelaskan oleh Islam? (rujuk Surah an Nahl : 90)
b) Mereka akan berkaa-kata dan berceramah sakan apa yang menguntungkan mereka. Keuntungan diukur dari sudut POPULARITI dan UNDI.
Di
dalam Tazkirah Duat karangan Dr Bahi Khuli menyebutkan bahawa
“bilangan” juga menjadi salah satu aspek utama dalam pembentukan sebuah
negara Islam. Bukan hanya kualiti semata-mata. (Tazkirah Duat, Dr Bahi
Khuli)
c) Kegagalan
kita memahami Islam yang syumul yang merupakan syarat seorang untuk
menjadi Melayu, telah menyebabkan kita menyalahkan pihak yang kononnya
mendabik dada menjuarai hak Melayu.
“Syarat
untuk menjadi Melayu ialah memahami Islam yang syumul”. Kenyataan ini
tiada dalam petikan perlembagaan yang penulis kemukakan, iaitu :
“…seorang
yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat
istiadat Melayu dan lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau
Singapura atau ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di
Singapura atau pada Hari Merdeka ia adalah domisil di Persekutuan atau
di Singapura atau ia adalah keturunan seseorang yang tersebut” (Fasal
160 Perlembagaan)
d) Usaha menjayakan agenda Islam yang besar hendaklah bermula dengan membangunkan sebuah bangsa yang berpegang kuat dengan Islam.
Perkara ini telah dijelaskan sebelum ini.
Penulis
juga perlu ingat, perjuangan memartabatkan bangsa ini adalah salah satu
penyebab kejatuhan Khilafah Uthmaniah. Tidak perlu dihurai panjang,
sila rujuk Inhiyar Daulah Uthmaniah, ms 82)
Saya
mengesyorkan untuk para pembaca untuk membeli buku “Kacamata Melayu”
karangan saya, hanya dicetak di Mesir, untuk melihat asal usul
masyarakat Melayu, dan bagaimana Islam memulihkan pemikiran dan pegangan
Melayu daripada fahaman Animisme.
Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar
http://ibnuirfadzil.blogspot.com/2011/01/perjuangan-memartabatkan-bangsa-versi.html