Saturday, March 8, 2014

Jika ISMA tegas berpegang pada prinsip "Undi melayu mesti diselamatkan", tiada jalan lain kecuali bertanding di Kajang.



Kajang : Satu Godaan Untuk ISMA?


The Satay Kajang Fiasco Series
Dr. A Z Zul
Kehangatan PRK Kajang semakin menyengat melebihi kepanasan kemarau dan cuaca kering. Ibarat cucuk satay yang disapu minyak diletakkan di atas api yang marak membara apabila dikipas kencang. Bermula dengan krisis antara PKR Selangor, perletakan jawatan ADUN Kajang dan pengumuman DSAI untuk bertanding menjadikan Kajang sebagai lokasi strategik yang perlu diberikan perhatian oleh politikus yang bercita-cita besar.
Zaid Ibrahim bijak melihat peluang dan terus mencabar DSAI. BN pula kelihatan mempunyai strategi sendiri apabila tetap meletakkan calon berbangsa Cina, Ma Fun sebagai harapan mereka di Kajang. Strategi yang agak pelik kerana di Kajang, demografik yang paling tinggi semasa PRU 13 adalah dari bangsa Melayu dan demografik ini paling pantas berkembang jumlahnya.
Dimana pembela Melayu Sejati?
Persoalan yang sering ditanya oleh sebahagian penduduk Kajang ialah “Adakah PRK Kajang akan menyaksikan persaingan baru dari aliran “Pejuang Melayu Islam” yang mana ISMA adalah kumpulan paling menonjol dari aliran tersebut? Bacaan dan analisis kami di STRATA yakin ISMA tidak akan mensia-siakan peluang yang besar ini dan tergoda untuk masuk gelanggang meletakkan calon mereka berdasarkan kepada 7 logik berikut, bak kata P.Ramlee, ‘cobaaan’
1. Kajang adalah sanctuary utk ISMA. Tanah tumpah darah dan tanah mereka menumpang tuah. Di Kajanglah mereka memulakan gerakan doktrin dan operasi survival harian mereka. Ini boleh dibuat telahan dari kewujudan pejabat pusat operasi mereka. Di Kajang jugalah berselerakan bunting dan banner gantung sebuah badan kebajikan yang mengutip duit rakyat Malaysia atas nama Palestin yang satu ketika dulu pernah dibayangi kontroversi dikaitkan dengan ISMA. Pada PRU13 yang lalu pula, Kajang adalah salah satu  gelanggang utama ISMA melonjakkan agenda politik mereka.Pendeknya, tidak ada sebab untuk ISMA tidak terlibat dalam PRK ini. Tiada kumpulan politik yang bermaruah akan meninggalkan gelanggang mereka bermain dan berlatih selama ini, dibiarkan untuk direbut oleh kumpulan lain, apatah lagi semua mereka adalah pendatang di bumi Kajang. Hanya ISMA layak dikira anak jati dan anak jantan di Kajang.
2. ISMA telah membuka langkah dan berjaya menembusi pasaran dalam ujian pertama di PRU13. Secara psikologi, mereka akan lebih berkeyakinan dan akan ada tuntutan dalaman untuk ISMA berjuang dengan lebih gigih. Alah bisa tegal biasa. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Berputus asa setelah gagal kali pertama adalah satu penghinaan besar kepada visi dan misi organisasi.
3. ISMA adalah satu-satunya badan pejuang Melayu Islam tulen yang mampu menyelamatkan akidah dan wibawa pengundi Kajang. Takkan Melayu hilang di dunia.
isma
4. Pejuang Islam tulen tidak akan sanggup membiarkan akidah umat tercabar dengan pilihan calon-calon yang ada:
(a) DSAI yang sekarang dilabel sebagai memiliki pemikiran Dajjal dan dikaitkan dengan segala pemikiran liberal/pluralisma/sekularisma yang bercita-cita menghapuskan ketuanan Melayu Islam di Malaysia. Sama ada tuduhan ini benar terbukti ataupun tidak, tidak penting kerana persepsi masyarakat Melayu ramai yang sudah dipengaruhi. Ini akan membuka peluang besar untuk ISMA.
(b) Zaid Ibrahim sendiri pernah dituduh dengan pelbagai tuduhan yang antaranya kaki botol dan menolak hudud. Sama ada tuduhan ini benar terbukti ataupun tidak, tidak penting kerana persepsi masyarakat Melayu ramai yang sudah dipengaruhi. Ini juga akan membuka peluang besar untuk ISMA.
(c) Mei Fun yang berbangsa Cina yang mengikut pandangan ISMA sememangnya tidak layak untuk diberikan amanah pemerintahan di dalam negara dan menjadi sebab utama kenapa ISMA memasuki pilihanraya sebelum ini yakni untuk meramaikan suara Muslim berwibawa. Tambahan lagi, satu lagi ‘dosa’ Mei Fun ialah, beliau seorang wanita!.
5. ISMA adalah pejuang politik berwibawa tulen yang tidak akan sanggup membiarkan harapan 1,450 pengundi (3,000 penduduk) yang meletakkan kepercayaan kepada ISMA pada PRU13. Mereka ini lah yang terpekik terlolong mengusung calon ISMA semasa berkempen, dan juga memenuhi ruang jamuan semasa doa kesyukuran selepas pilihanraya.
6. ISMA bukan bersendirian dalam pemikiran politik mereka. Banyak lagi pertubuhan yang selari dengan perjuangan ISMA seperti Perkasa, Pekida, Berjasa, Jati dan NGO lain yang sanggup bergabung untuk menggempur Kajang bersama ISMA. Kemunculan NGO yang mengeluarkan kenyataan melabelkan Anwar sebagai memiliki sifat Dajal baru-baru ini memberikan signal yang jelas tentang sokongan kepada perjuangan Melayu Islam.
7. Terdapat 40 ribu penduduk Melayu di Kajang dan diantaranya lebih 20 ribu adalah pengundi. Dalam pertandingan 4 penjuru, siapa yg dapat meraih 10ribu undi, pasti menang. Jadi ISMA tidak perlu meletakkan sasaran undian yang tinggi. Malah,tidak mustahil ISMA akan mendapat 10 ribu undi yakni separuh dari undi org Melayu. Seperti dalam dalil di atas, usaha ‘character assasination’ yang telah dibuat oleh UMNO sebelum ini telah menyebabkan ramai orang Melayu tidak suka dengan DSAI. Tambahan lagi, permainan politik DSAI dan PKR tidak disukai oleh akar umbi penyokong PAS (baca: Melayu Islam) di Kajang. Apakah ISMA akan
membiarkan sahaja? Sudah tentu tidak.

Jadi, adakah kita akan menyaksikan pertandingan 4 penjuru di Kajang? Bagaimana agaknya kesudahan pertempuran ini? Apakah Kajang menjadi pintu untuk DSAI ke Putrajaya ataupun akan menjadi ‘kubur’ yang
menamatkan riwayat politiknya? Adakah ISMA sebagai jaguh kampung akan berdiam melihat orang luar datang menunjuk lagak di tanah tumpah darahnya?

Arus Baru, atau Arus Berlalu?
Adakah kita bakal melihat kemunculan arus baru di Kajang, ataupun langsung tiada arus? Nantikan pendedahan dan pencerahan politik seterusnya di
STRATA.


Dr A Z Zul adalah penyelidik dan penganalisa di STRATA Consulting, sebuah badan advokasi dan pemikir dengan pengkhususan kajian strategik dan analisa unjuran. Beliau juga adalah seorang pengundi berdaftar di Kajang yang mengikuti perkembangan PRK Kajang secara peribadi dan terperinci.

http://strataresearch.wordpress.com/2014/03/06/kajang-satu-godaan-untuk-isma/