Wednesday, February 20, 2013

"Fatwa" Ulama ISMA berdasarkan maklumat sumber TV3 dan Utusan Malaysia

Inilah contoh 'fatwa' oleh orang kuat ISMA. Walaupun ia seolah-olah panduan 'neutral' tetapi jika dibaca betul-betul dan anda akan tahu siapa yang dimaksudkan dengan "Parti" dan "Individu" yang kononnya harus ditolak. 

Agaknya dari sumber mana dia perolehi  maklumat yang menyebabkan dia mengeluarkan 'fatwa' sedemikian? Kelihatan semuanya andaian, khabar angin berdasarkan propoganda media UMNO-BN. Beliau nampaknya mengiyakan semua tohmahan dan kelihatan seolah-olah percaya 100% dengan TV3 dan Utusan Malaysia. Tiada usaha tabayyun, semak kesahihan setiap dakwaan, tohmahan dan isu yang ditimbulkan.

Inilah dangkalnya metodologi pemikiran dan kaedah penerbitan hukum dan pendirian politik  yang digunakan oleh 'ulama' ISMA. Metodologi inilah juga yang digunakan untuk  men'fatwa'kan supaya ISMA mengemukakan calon ketiga  kononnya bagi 'menyelamatkan undi Melayu'.




Orang-orang Melayu Islam mesti menolak:

1. Parti yang jelas mengisytiharkan perjuangannya untuk mendapatkan hak sama rata antara warga negara, dengan menolak keistimewaan orang Melayu dan Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan.
2. Parti yang memperjuangkan kebebasan ekonomi tanpa sebarang kawalan kerajaan bagi mengukuhkan lagi cengkaman golongan pemodal bukan Melayu ke atas ekonomi Malaysia.
3. Individu yang mempertahankan kebebasan muslim untuk murtad dan memandang serong usaha mempertahankan akidah Islam,
4. Individu yang mempertahankan penganjuran acara mempromosi amalan seks songsang seperti program Seksualiti Merdeka dan enggan menyanggah gerakan LGBT.
5. Individu yang mendokong fahaman pluralisme agama, iaitu konsep kesamarataan taraf antara agama Islam dengan agama yang lain, dan tidak pernah sama sekali menarik balik kenyataan dokongannya itu.
6. Individu yang menyokong keselamatan penjajah Israel, yang secara tidak langsung mengiktiraf kependudukan Israel secara haram ke atas Palestin dan tanah suci umat Islam.
7. Parti yang terperangkap dalam amalan politik kepartian yang sempit serta taksub melulu sehingga sanggup mengetepikan kepentingan umum umat Islam seperti kesepakatan dan perpaduan, malah sebaliknya sanggup bekerjasama dengan parti musyrik yang berusaha keras menghakis kedudukan istimewa Melayu dan Islam dalam negara ini.
8. Individu yang disabitkan atau sekurang-kurangnya berhadapan dengan tuduhan kesalahan rasuah, pecah amanah, salah laku dan korupsi.
9. Pihak yang menggunakan elemen lucah dan serangan peribadi sebagai bahan untuk meraih sokongan.
10. Pihak yang berusaha untuk menimbulkan situasi tegang dan rusuhan jalanan sebagai kaedah perubahan.
11. Golongan yang menafsirkan ayat-ayat al-Quran menurut selera akal dan hawa nafsu mereka, takjub dengan Barat, mengetepikan pandangan ulamak-ulamak mazhab dan begitu teruja untuk dilihat moderat di kaca mata Barat.
12. Kumpulan syiah dan mereka yang mempunyai hubungan yang rapat dengan syiah.

Orang-orang Melayu Islam mesti:

1. Berusaha keras memahami Islam yang syumul dan tulen, membina sahsiah dan jatidiri Islam.
2. Segera menamatkan keadaan dipercaturkan oleh agenda orang lain dengan mengukuhkan wala' sesama muslim dan mewujudkan kesepakatan atas agenda yang dipersetujui bersama.
3. Mempertahankan teras Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam, Melayu dan institusi Raja.
4. Mempertahankan identiti kebangsaan Malaysia yang berteraskan Islam, Bahasa Melayu dan budaya orang Melayu.
5. Memastikan wewenang orang Islam sentiasa dominan dalam percaturan kuasa.
https://www.facebook.com/mohdhazizi.abrahman/posts/424767477556731?comment_id=5090022&notif_t=comment_mention