Sunday, April 7, 2013

Amanat Hadi: Berlaku adillah.


Walaupun isu ini agak lama, elok juga kita baca sebagai contoh kegopohan ISMA membuat kenyataan bagi  'score point' dengan UMNO/BN walaupun berdasarkan maklumat yang salah. 

 Amanat Hadi: Menjawab kenyataan ISMA

Muhammad Ali Rajaie b. Jamaludin,

Kenyataan rasmi ISMA yang dibacakan oleh Presidennya Abdullah Zaik Abdul Rahman pada 4 Januari 2013 yang meminta YB Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menarik kembali Amanat Haji Hadi adalah dengan ini dirujuk.

ISMA tidak cermat dengan mengatakan bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan melalui fatwanya pada 25 Julai 2002 telah mengharamkan Amanat Haji Hadi.
Hakikatnya, Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengeluarkan sebarang fatwa secara spesifik berkaitan Amanat Haji Hadi sepertimana yang didakwa oleh pihak ISMA. Fakta ini perlu diperbetulkan dengan segera demi menjaga nama baik para mufti, Majlis Fatwa Kebangsaan dan nama ISMA sendiri.

ISMA juga tidak cermat di dalam meneliti Amanat Hadi apabila menyatakan bahawa kalimah “jihad”, “syahid” dan “kafir” di dalam Amanat tersebut sebagai ajakan untuk menggunakan kekerasan sebagaimana memerangi golongan bughah dan khawarij.

YB. Dato' Seri Abdul Hadi di dalam Amanat tersebut tidak pernah mengajak orang awam untuk menggunakan sebarang bentuk kekerasan. Kenyataan ISMA ini adalah satu tokok tambah untuk terus mencipta persepsi yang tiada kebenarannya. Malah ianya menampakkan persepsi sempit sesetengah dari kita umat Islam yang mengaitkan “jihad”, “syahid” dan “kafir” hanya dengan kekerasan sedangkan konsep Jihad itu adalah luas.

Di dalam Amanat tersebut, YB. Dato' Seri Abdul Hadi menggunakan kalimah “kita” yang dengan jelas menunjukkan bahawa beliau menujukan peringatan secara umum bahawa men”suku”kan agama boleh mendatangkan kekufuran. Peringatan ini pula adalah bersandarkan kepada nas al-Quran dari Surah al-Maidah ayat 44 dan selari pula dengan pandangan ulama’ muktabar seperti Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah, Syeikh Abd al Aziz ibn. Baz  dan ramai lagi.

Pandangan Mufti Pulau Pinang  Yg. Bhg. Datuk Seri Hassan Ahmad yang dipetik oleh sebuah suratkhabar hari ini juga amat menarik untuk disoroti. Beliau berkata sebarang keputusan dan fatwa berkaitan dengan Amanat Hadi perlulah mengikut prosedur termasuklah dengan memanggil YB. Dato' Seri Abdul Hadi untuk memberi penjelasan.

Berdasarkan kepada pandangan beliau itu, maka fatwa yang diwartakan di negeri Melaka yang mengharamkan Amanat Hadi besar kemungkinannya tidak mengikut prosedur kerana tidak pernah memanggil YB. Dato' Seri Abdul Hadi untuk memberi keterangan.
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa negeri Melaka tidak memberi keadilan kepada yang dituduh ketika menghukum dan oleh itu satu semakan amat wajar dilakukan.

ISMA juga haruslah seimbang di dalam penilaian mereka yakni bukan sekadar mengulas fatwa politik tetapi turut cakna mendesak kerajaan agar serius menangani isu kebejatan sosial, ekonomi dan rasuah yang semakin membarah di dalam negara kita ini.

Muhammad Ali Rajaie b. Jamaludin
Presiden
Ikatan Persahabatan Siswazah Profesional Malaysia - iPRISMA


http://bm.harakahdaily.net/index.php/letter/15764-amanat-hadi-menjawab-keny