Saturday, April 20, 2013

Presiden Isma seru umat Islam tolak PAS dan PKR yang dituduh sokong pluralisme dan liberalisme agama.



Beraninya ISMA buat tuduhan!! Apa buktinya buat tuduhan seberat ini? Sudah tabayyun?




ARKIB : 11/04/2013


Tolak parti sokong pluralisme

KUALA LUMPUR 10 April - Kecenderungan pembangkang terutamanya Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyokong pluralisme dan liberalisme agama seharusnya membuka mata umat Islam untuk menolak parti itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, perkara itu bagi memastikan agama Islam dan kaum Melayu yang menjadi teras kepada pembinaan negara ini dapat dipertahankan.

"Perkara ini perlu diberi perhatian oleh rakyat terutama pengundi-pengundi muda supaya tidak tersalah memilih kepimpinan negara yang sanggup menolak asas Islam dan Melayu semata-mata kerana kuasa," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas deklarasi yang dikeluarkan Persidangan Ulama Pondok, Sekolah Agama Rakyat dan Tahfiz semalam yang menekankan adalah haram bagi umat Islam mengundi Pas dan PKR yang berpakat membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam kalangan penganut agama selain Islam.

Sebelum ini, pemimpin kanan Pas dan PKR bersetuju dengan desakan DAP supaya kalimah Allah dibenarkan kepada penganut agama lain, sekali gus menimbulkan kemarahan umat Islam.

Sementara itu, Presiden Institut Penyelidikan Strategik Islam (ISSI), Dr. Yusri Mohamad berkata, beliau tidak terkejut dengan deklarasi tersebut yang disifatkan manifestasi penentangan kumpulan ahli agama terhadap pendirian pemimpin Islam di dalam Pas dan PKR.

"Selagi Pas berada dalam pakatan pembangkang, mereka akan terus terikut dengan rentak PKR dan DAP yang menunjukkan kecenderungan kepada pluralisme dan liberalisme agama," katanya.

Sehubungan itu, tambah beliau, rakyat perlu menolak pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang bagi memastikan agama Islam terus dipertahankan manakala keharmonian agama dapat dijaga.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pilihan_Raya/20130411/px_15/Tolak-parti-sokong-pluralisme#ixzz2R0VjiXpi
© Utusan Melayu (M) Bhd