Thursday, April 11, 2013

Semoga ahli-ahli ISMA cepat sedar sebelum nasi menjadi bubur..

Dari Facebook: 
Hasbie Muda
Saya mengkritik ISMA bukan sebab benci atau ada dendam peribadi. Kasih dan hormat pada teman-teman saya dalam ISMA tidak pernah berkurang walau seinci.

Bukan juga kerana bimbang atau terancam jika ISMA membuat ‘kacau daun’ dalam pilihanraya yang terdekat. Bertanding 7 kerusi di kerusi rakan tahalluf bukan Islam bukanlah suatu yang agak signifikan untuk diberikan perhatian. (Hakikatnya pimpinan PAS tidak pernah membuat kenyataan terbuka mengkritik ISMA. Hanya simpatisan atau ahli bawahan seperti saya sahaja yang berasa terpanggil untuk menulis tentang ISMA).

Tetapi tujuan saya adalah supaya ahli-ahli ISMA sedar bahawa tindak-tanduk para pimpinan mereka lebih banyak membawa mudharat berbanding manfaat samada kepada survival Islam atau Melayu.

Slogan seperti ‘Melayu sepakat Islam berdaulat’ ataupun seruan ‘undilah calon Muslim berwibawa’ akan menjadikan ISMA sebagai sebuah NGO Islam yang neo-racism. Ia tidak racist seperti PERKASA tetapi impak yang dibawa adalah serupa malahan mungkin lebih teruk kerana ISMA menyandarkan nas-nas agama sebagai hujah.

Jangan pelik jika selepas ini, kaum lain juga akan melaungkan slogan yang serupa. Jangan pelik jika selepas ini, faktor ras dan agama akan menjadi penentu utama pengundi dalam membuat pilihan.

Jangan pelik jika akan wujud lebih banyak NGO berasaskan kaum dan agama sebagaimana ISMA yang terlibat cergas dalam politik. Terbaru NGO Hindu iaitu Hindraf mengumumkan akan bertanding di parlimen Kota Raja dengan alasan ramai pengundi India di kawasan tersebut. (Jika ini berlaku, tidakkan ia akan menggangu peluang Dr Siti Mariah seorang calon Muslim untuk ke parlimen?)

Hakikatnya, senario sebegini akan memburukkan hubungan etnik di Malaysia. Segregasi etnik akan kian melebar. Setiap rakyat akan hanya memikirkan tentang kaum atau agama sendiri sahaja.

Lebih buruk lagi, jika tindak balas perkauman bukan hanya berlegar di lapangan politik, sebaliknya juga di bidang ekonomi dan sosial. Dalam keadaan orang Melayu hanya memiliki 21.9% nilai ekuiti, adakah kita masih mahu mencipta musuh?

Apapun, terpulanglah pada ISMA samada mahu teruskan atau kembali ke pangkal jalan. Masih belum terlambat sebelum nasi menjadi bubur.

Terpulanglah juga pada ISMA jika mahu menganggap saya sebagai seteru atau musuh. Apa yang penting, saya sudah lakukan apa yang perlu saya lakukan.

Mudah-mudahan, saya boleh menjawab di hadapan Allah.