Sunday, March 10, 2013

ISMA dan Pilihanraya : Satu Penilaian (Bahagian 2)



Dalam tulisan yang lepas, saya telah mengulas berkenaan situasi pilihan raya di Malaysia, kemampuan calon bebas dan sedikit pandangan saya berkenaan sikap ISMA terhadap parti-parti politik utama di Malaysia khususnya yang terlibat secara langsung dengan tindakan ISMA dalam krtikan-krtikannya.

Pada kesempatan ini, saya ingin meneliti berkenaan pendirian ISMA dalam hal ehwal politik, seterusnya membawa kepada andaian dan tilikan saya berkenaan corak apakah yang akan dimainkan oleh ISMA dalam PRU13 yang telah dipastikan oleh mereka bahawa mereka akan menghantar calon bertanding. Semoga Allah memandu saya untuk memberikan pandangan yang adil.

Pendirian ISMA Dalam Politik

Setiap entiti yang memasuki politik pilihanraya, pastinya mempunyai pendirian yang digariskan. Maka, berdasarkan sikap ISMA kepada parti-parti politik seperti yang saya gariskan sebelum ini, juga pendirian mereka terhadap isu-isu agama Islam, serta kurang caknanya mereka terhadap isu-isu keadilan dan social, saya menggariskan dua pendirian utama ISMA yang akan mendasari setiap tindakan mereka dalam politik, khususnya dalam PRU13.

Pendirian mereka yang pertama adalah, mereka meletakkan matlamat memastikan kuasa pemerintahan negara dan penentu dasar pemerintahan kekal di tangan umat Islam yang memegang majority selesa, sehingga segala ketetapan berkenaan agama Islam dapat dibuat dengan jayanya tanpa sebarang halangan daripada pemimpin bukan Islam. Bagi ISMA, dominasi kuasa politik umat Islam akan menjamin kelangsungan penjagaan aqidah, kepentingan umat Islam dan menjadi tiket utama untuk menegakkan Islam dalam pemerintahan di Malaysia.

Pendirian mereka yang kedua, tidak dinafikan isu-isu keadilan dan perjuangan menentang kezaliman serta penyelewengan adalah antara isu pokok dalam pemerintahan. Namun begitu, andai isu ini bertembung dengan kepentingan penyatuan dan pengekalan kuasa politik umat Islam, maka umat Islam perlu mengutamakan penyatuan dan mengenepikan sementara isu-isu keadilan ini memandangkan menjaga dominasi kuasa politik umat Islam, seterusnya menjaga aqidah dan kepentingan umat Islam, adalah lebih utama berbanding memperjuangkan keadilan pemerintahan.

Dua pendirian ini jika dilihat secara kasar kelihatan sangat baik dan ideal. Saya sendiri mengakui bahawa secara teorinya, pendirian ini boleh diterima dan memberikan kebaikan kepada umat Islam. Namun, dalam politik, idea yang mantap di atas kertas sama sekali tidak menjamin kemantapannya semasa perlaksanaan. Idea politik jika dinisbahkan dalam ilmu sains, ianya diibaratkan sebagai hipotesis yang sama sekali kita tidak boleh berpegang padanya.

Hipotesis hanyalah andaian awal yang mana perlu melalui proses eksperimen untuk menentukan kebenarannya. Andai ianya terbukti benar, maka hipotesis itu akan diterima dan dinamakan sebagai teori. Andai pula ianya tidak benar, maka hipotesis itu adalah salah dan sama sekali tidak boleh dimasukkan ke dalam mana-mana bahagian pengajian sains, apatah lagi ingin dianggap sebagai teori.

Kuasa Politik Islam Nombor Satu, Menentang Kezaliman Bukan Nombor Dua

Saya meletakkan dua pendirian ini sebagai pendirian ISMA kerana dengan dua ketetapan ini membuatkan ISMA tegar dengan pandangan bahawa PAS perlu bersatu dengan UMNO dan meninggalkan PR. Bagi ISMA, penyatuan UMNO dan PAS akan membuatkan umat Islam memegang dominasi kuasa politik dan menghalang bukan Islam daripada mendominasi kuasa politik negara.

Dalam pengajian Nuzum Islamiyah (Sistem-sistem Islam) Tahun 2 Kuliah Usuluddin Universiti Al Azhar, digariskan 5 asas utama pemerintahan Islam yang wajib dilaksanakan oleh mana-mana pemerintah Islam. Ianya adalah keadilan, kebenaran, kesaksamaan, kebebasan dan syura. Jika kita lihat kepada lima asas ini, empat daripadanya membicarakan soal kehidupan dan social masyarakat, manakala persoalan dominasi kuasa politik terdapat dalam asas yang kelima iaitu syura.

Keadilan diletakkan sebagai asas yang paling utama kerana perbezaan yang paling ketara antara pemerintahan Islam dan pemerintahan jahiliyyah adalah faktor keadilan. Jika kita menyelak sejarah dakwah Rasulullah SAW, ciri keadilan Islam ini menjadi faktor utama mengapa para sahabat menerima dakwah baginda ketika permulaan dakwah di Makkah, sehingga menjadikan mereka yakin akan ajaran Islam.

Mesti kita juga merasa hairan, mengapa persoalan menjaga aqidah dan agama Islam tidak digariskan sebagai asas pemerintahan Islam. Ini adalah kerana, penjagaan aqidah dan agama Islam termasuk dalam kelima-lima asas itu tadi. Pemerintahan Islam yang adil akan mencerminkan ajaran Islam yang mulia, seterusnya memperlihatkan keadilan Allah dalam mentadbir manusia. Begitu juga dengan asas kebenaran, kesaksamaan dan kebebasan. Semua asas ini diwajibkan untuk dinilai berdasarkan penilaian syarak dan melaksanakan semua asas ini akan menzahirkan rahmat Allah dan agama Islam yang menaungi seluruh alam.

Kezaliman Boleh Dikompromi Demi Penyatuan?

Asas pemerintahan Islam yang digariskan ini cukup memberikan kefahaman kepada kita betapa perjuangan menegakkan pemerintahan yang adil adalah elemen yang sangat penting, dan terdapat di dalamnya juga perjuangan mempertahankan aqidah umat Islam. Ianya menjadi asas utama pemerintahan Islam dan sama sekali tidak boleh diabaikan dengan apa jua alasan sekalipun

Maka, saya menolak sama sekali pemikiran bahawa perjuangan melawan kezaliman perlu diletakkan nombor dua sekiranya bertembung dengan kepentingan penyatuan umat Islam. Ini seolah-olah membawa maksud, Islam boleh berkompromi dengan kezaliman demi mencapai kuasa politik. Sekiranya pihak umat Islam yang kita diminta bersatu ini melakukan salah urus semata-mata kerana kecuaian atau kesilapan yang tidak disengajakan dalam pemerintahan, mungkin ianya boleh dipertimbangkan.

Namun, jika kezaliman yang berlaku itu adalah kezaliman yang disengajakan, berlaku secara konsisten tanpa henti, kemudiannya cuba ditutup kezaliman itu dengan mengawal system kehakiman, dan yang paling teruk adalah kezaliman dan korupsi tu telah menjadi budaya yang mendarahdaging, mengenepikan soal kezaliman ini semata-mata mengharapkan penyatuan umat Islam, bagi saya ia adalah satu seruan yang sama sekali bercanggah dengan asas pemerintahan Islam.

Ini belum lagi kalau kita ingin menilai adakah seruan perpaduan daripada mereka ini benar-benar ingin bersatu demi Islam, ataupun sekadar manis di bibir. Saya lebih cenderung untuk mempercayai bahawa seruan penyatuan ini adalah retorik semata-mata kerana banyak tindakan mereka yang menzalimi rakyat yang terdiri daripada umat Islam masih berterusan walaupun mulut mereka melaungkan zikir perpaduan. Saya telah jelaskan dalam artikel sebelum ini berkenaan bukti-bukti mudah yang boleh kita fikirkan akan ketelusan seruan perpaduan yang dilafazkan mereka.

Saya memegang kemas kalam Sheikh Hassan As Syafie yang merupakan salah seorang ulama kanan Institusi Azhar Sharif yang dilafazkan ketika khutbah Jumaat di Masjid Azhar pada tahun 2012, bahawa pemerintah bukan Islam yang adil, lebih baik daripada pemerintah Islam yang zalim. Keadilan dalam pemerintahan adalah cermin utama ajaran Islam dan sekiranya dilaksanakan, ia akan menjadi salah satu elemen penting untuk orang bukan Islam tertarik kepada Islam. Sebaliknya pula jika pemerintah Islam itu zalim, maka ia akan menjadi label kepada Islam yang menyebabkan manusia semakin lari daripada ajatan Islam.

Dominasi Kuasa Politik Konteks Malaysia

Tidak dinafikan bahawa dalam demokrasi, suara majority adalah menentu sesuatu keputusan dibuat. Saya yakin, berdasarkan kefahaman ini, ISMA memandang penyatuan PAS dan UMNO akan menghasilkan jumlah majority yang membuatkan umat Islam akan memegang kuasa politik yang dominan. Maka, apabila PAS menolak untuk bersatu dengan UMNO, ISMA melihat bahawa kuasa politik umat Islam akan menjadi lemah kerana dipecahkan kepada dua bahagian. ISMA juga dengan yakin menyatakan bahawa PAS bakal terpinggir daripada kumpulan penentu dasar dalam PR memandangkan PAS merupakan jumlah minority kerusi Parlimen di kalangan parti-parti lain dalam PR.

Andaian ini betul jika kita mengambil kefahaman kita terhadap demokrasi seperti di atas tadi. Namun, untuk konteks Malaysia, penilaiannya adalah berbeza. Perbezaan utama penilaian kuasa penentu dalam domokrasi konteks Malaysia adalah konsep ‘majoriti mudah’ yang diamalkan di peringkat Parlimen Persekutuan dan juga semua Dewan Undangan Negeri. Konsep ini seterusnya menafikan ketetapan bahawa pihak yang memegang kerusi terbanyak adalah sangat berkuasa dan yang memegang kerusi paling sedikit adalah tidak berkuasa.

Contoh mudah adalah apa yang berlaku di Perak dan Selangor semasa PRU12 yang menyaksikan tiada mana-mana parti iaitu baik BN, PAS, PKR dan DAP mencapai jumlah kerusi majority mudah di Selangor iaitu 29 kerusi dan di Perak iaitu 30 kerusi (Ketika itu, PR masih belum tertubuh. PAS,PKR dan DAP bertanding sebagai parti yang berasingan).

Ketika itu, parti yang menjadi rebutan dan penentu pihak mana yang akan memerintah adalah PAS. Ini bermaksud, pihak mana yang PAS bergabung, dialah menjadi kerajaan. Akhirnya, PAS bergabung bersama PKR dan DAP, seterusnya menyaksikan PR membentuk kerajaan di Selangor dan Perak. Lebih istimewa, Menteri Besar Perak dilantik dari kalangan Adun PAS walaupun PAS memegang jumlah kerusi terendah iaitu 6 kerusi sahaja.

Penilaian ISMA Tidak Tepat

Saya berpendapat, pandangan ISMA bahawa jika PAS tidak bersatu dengan UMNO, kuasa politik umat Islam akan terkikis dan PAS juga akan terpinggir dalam PR adalah pandangan yang tidak tepat untuk konteks demokrasi di Malaysia. Di Malaysia, PAS dengan sejarahnya yang pernah berkerjasama dengan hampir semua parti politik di Malaysia, adalah sangat fleksibel pembawaan politiknya dan mampu mempertahankan kuasa penentu politik umat Islam dalam apa jua keadaan dan bentuk kerjasama politik.

Ini belum lagi kita membuat penilaian terhadap ahli Parlimen PKR yang beragama Islam yang juga beriltizam tinggi untuk memperjuangkan agama Islam di Malaysia. Namun, penilaian saya terhadap kuasa penentu yang ada pada PAS sahaja sudah cukup membuktikan bahawa umat Islam tetap terjamin kuasa politiknya dalam PR, apatah lagi jika kita mengambil kira peranan ahli Parlimen PKR yang beragama Islam, pastinya dominasi kuasa politik umat Islam dalam PR lebih kuat dan terjamin.

Oleh itu, penolakan PAS terhadap seruan bersatu dengan UMNO tidak boleh terus dihukumkan sebagai mengikis kuasa politik umat Islam. PAS telah menetapkan untuk mengalahkan UMNO dan menjadi alternatif dalam memperjuangkan masyarakat Melayu dan umat Islam di Malaysia. PAS walaupun mungkin kecil jumlah kerusinya di peringkat pusat, tetapi PAS berkuasa sebagai penggerak utama dan menjadi kuasa penentu dalam PR.

Empat tajuk kecil di atas ini adalah khusus untuk menafikan dua pendirian ISMA yang saya gariskan mengikut penilaian saya tadi. Saya kira, saya telah menjelaskan betapa penentangan PAS kepada UMNO sama sekali tidak membawa kepada kejatuhan kuasa politik umat Islam, malah menepati seruan Islam untuk sentiasa memperjuangkan keadilan dan menentang kezaliman kerana Islam sama sekali tidak berkompromi dalam hal ehwal kezaliman, apatah lagi ianya melibatkan hak rakyat yang berada di bawah naungan sesebuah negara.

Saya kira ISMA tidak melihat akan hakikat ini, lantas terus menerus meletakkan hukum bahawa tindakan PAS menolak perpaduan bersama UMNO adalah tindakan memusnahkan kuasa politik umat Islam. Pertimbangan ISMA menjadi lebih senget apabila langsung tidak menyatakan pendirian terhadap isu-isu penyelewengan dan kezaliman yang dilakukan UMNO, malahan meletakkan segala masalah yang melanda umat Islam ke atas bahu PAS, hanya semata-mata mengadakan kerjasama dengan rakan dalam PR.

Saya lihat, ISMA kini seolah-olah dipergunakan oleh UMNO untuk menjayakan seruan palsu ‘penyatuan Melayu’nya itu. Saya masih bersangka baik bahawa ISMA tidak berniat untuk dijadikan alat oleh UMNO, namun pandangan dan pegangan politik ISMA yang salah ini menyebabkan mereka dipergunakan untuk kepentingan UMNO. Saya harap sangat agar ISMA menyedari segera hakikat ini dan membebaskan diri mereka daripada menjadi alat kepada UMNO. Potensi dakwah yang ada pada ISMA seharusnya digunakan untuk menguatkan perjuangan Islam, bukan menjadi tongkat untuk menyelamatkan Melayu korup.

Percaturan Pilihan Raya ISMA

Kini, saya ingin membuat sedikit andaian berkenaan bentuk percaturan ISMA dalam PRU13, berdasarkan kepada sikap ISMA terhadap parti-parti politik di Malaysia dan juga pendirian ISMA yang telah saya ulas di atas. Andaian saya ini juga berdasarkan sangkaan paling baik yang saya mampu berikan kepada ISMA. Saya akan mulakan dengan andaian kasar, kemudian diikuti dengan andaian yang lebih terperinci dan teliti.

Berdasarkan matlamat yang digariskan, saya mengandaikan ISMA tidak akan mengadakan kerjasama politik dengan mana-mana pihak, samada BN atau PR. Ini berdasarkan pengakuan ISMA bahawa mereka bukan alat kepada UMNO, maka ia membawa maksud bahawa ISMA tidak akan meminta laluan daripada UMNO-BN untuk bertanding satu lawan satu dengan calon PR. Berdasarkan sikap ISMA kepada PR, boleh dikatakan mustahil pula ISMA akan meminta laluan daripada PR untuk bertanding. Ibarat menunggu ayam jantan bertelur, begitulah juga kemungkinan ISMA akan bersama dengan PR dalam PRU.

ISMA juga mungkin tidak akan mencelah dalam pertandingan yang menyaksikan PAS bertembung dengan UMNO, kerana tindakan mencelah itu akan menafikan matlamat mereka menyertai PRU. Adapun kerusi yang ditandingi oleh calon Melayu Islam melawan calon bukan Islam, ISMA juga mungkin tidak akan mencelah kerana pastinya ISMA mengharapkan calon Islam itu akan menang dan undi umat Islam tidak perlu dipecahkan dengan penyertaan ISMA bertanding di tempat yang sama.

Berdasarkan sikap ISMA yang mengagungkan perpaduan sesama Islam, saya mengandaikan bahawa ISMA hanya akan meletakkan calon di kerusi yang akan ditandingi oleh calon bukan Islam dari kedua-dua pihak. Ini juga bertepatan dengan matlamat ISMA menyertai PRU iaitu ingin menyelamatkan undi umat Islam daripada memberikan undi kepada pihak yang merugikan Islam. ISMA kemungkinan akan mencelah dalam pertandingan antara BN-DAP dan juga BN-PKR (calon bukan Islam). ISMA mengharapkan pengundi Islam akan mengundi mereka sebagai alternatif kepada dua calon bukan Islam.

Strategi ini tidak dapat dipastikan adakah mampu meraih kejayaan atau tidak kerana kebiasaannya kawasan yang ditandingi oleh dua calon bukan Islam dari BN dan PR adalah di kawasan yang mana jumlah pengundi Melayu Islam adalah 60% ke bawah. Kemudiannya, penyokong tegar Melayu BN dan PR pastinya akan mengundi calon mereka biarkan pun calon mereka adalah bukan Islam. ISMA hanya mampu berharap kepada pengundi Melayu atas pagar yang saya rasakan sangat kecil peratusnya berbanding jumlah keseluruhan pengundi.

Andai kita menganggap bahawa satu pertiga daripada pengundi Melayu Islam adalah mereka yang bersikap atas pagar. Maka, undi yang akan diperoleh ISMA adalah sekitar 20% daripada jumlah keseluruhan pengundi. ISMA kemungkinan besar tidak akan menerima undi dari bukan Islam kerana pendirian ISMA sendiri dilihat sangat berlawanan dengan kehendak pengundi bukan Islam. Oleh itu, jumlah 20% ini sama sekali tidak akan membawa ISMA kepada kemenangan. Cukup sekadar menyelamatkan wang deposit mereka daripada diinfaqkan kepada SPR.

Jika inilah strategi ISMA dalam PRU, ianya sama sekali tidak akan memberikan apa-apa impak kepada politik Malaysia malah PRU13 seolah-olah tidak merasa apa-apa dengan kehadiran ISMA yang menghantar calonnya bertanding.

Adakah ISMA Masuk PRU Untuk Kalah?

Penilaian saya di atas tadi adalah berdasarkan pendirian dan sikap mereka terhadap politik dan parti-parti politik di Malaysia. Ia memperlihatkan bahawa ISMA akan menempuh jalan yang sukar untuk memenangi kerusi jika mereka sekadar berharap kepada pertandingan di kerusi yang ditandingi oleh dua calon bukan Islam.

Saya kira, ISMA bukan terlalu naïf untuk menyertai PRU semata-mata untuk kalah. ISMA mengumumkan penyertai PRU dengan penuh gah, dan disambut dengan sokongan tidak berbelah bahagi oleh ahli-ahlinya. Dicampur lagi dengan usaha berkempen ISMA yang sudah dimulakan dengan membawa slogan ‘Arus Baru’. Maka, saya yakin ISMA tidak mahu arus mereka berubah menjadi buih-buih sahaja dalam PRU nanti.

Saya rasakan bahawa ISMA akan berusaha untuk menyusun strategi untuk menang. Saya tidak dapat menilik secara pasti apakah strategi itu, tetapi jika melihat kepada situasi dan strategi yang membolehkan satu-satu calon bebas itu menang, cara yang paling ampuh adalah memilih untuk berkompromi dan meminta laluan daripada mana-mana parti gabungan utama. Saya ulangi, ini adalah andaian saya, bukan satu kepastian.

Jika diteliti kepada seruan dan pendirian ISMA sebelum ini, seolah-olah ini tidak berlaku. Tetapi kebarangkalian ianya berlaku tidak dapat dinafikan, tambahan pula cara ini adalah cara yang paling selamat untuk seseorang calon bebas itu ingin mendapatkan kemenangan iaitu mengelakkan pertandingan tiga penjuru, mewujudkan pertandingan satu lawan satu, dan mendapatkan sokongan parti gabungan utama negara. Dengan ini, penyokong parti gabungan yang memberikan laluan itu sudah pastinya akan mengundi calon bebas ini. Ditambah pula dengan sokongan pengundi atas pagar, maka jaminan kemenangan akan menjadi lebih tinggi daripada pertandingan tiga penjuru.

Bersambung bahagian tiga (percaturan dan tindak tanduk ISMA dalam PRU serta kesannya)


(Mohon maaf kerana saya merasakan tulisan saya berkenaan ini tidak boleh ditamatkan dengan dua bahagian penulisan. Jika ingin diteruskan, bimbang akan menjadi terlalu panjang. Saya akan menyambung tulisan ini untuk bahagian ketiga dan seterusnya sehingga tamat segala perangkaan saya dalam mengulas perkara ini. Terima kasih atas sokongan)


Mohd Azrul Azuan bin Idris
2.40 am, 11 Feb 2013.

Tuesday, February 5, 2013

ISMA dan Pilihanraya : Satu Penilaian (Bahagian 1)


Kehangatan Pilihan Raya Umum (PRU) semakin terasa. Bukan sahaja hangat, malah mungkin ada yang sudah hangus dibaham kepanasan PRU yang dijangka paling sengit dalam sejarah pilihan raya di Malaysia. Buat pertama kalinya, UMNO dan Barisan Nasional (UMNO-BN) selaku parti pemerintah yang sudah memerintah sejak kemerekaan negara merasakan kemungkinan mereka akan tewas dan tidak dapat membentuk kerajaan lagi selepas ini.

Jika dinilai kepada perkembangan politik dunia, maka kegusaran UMNO ini ada asasnya. Di Jepun, parti LDP yang merupakan parti utama di sana yang memerintah sejak 1955, akhirnya merasa kehilangan kuasa di tahun 2009. Di United Kingdom juga, Tony Blair yang merupakan antara Perdana Menteri yang popular, akhirnya diturunkan setelah menerima hukuman dari rakyatnya atas pelbagai kesalahan terutamanya menyertai perang bersama Amerika yang menyaksikan United Kingdom mengalami kemerosotan ekonomi.

Ini belum dikira dengan fenomena ‘Arab Spring’ yang kini sedang merebak di Dunia Arab. Satu persatu kuasa regim dan diktator negara Arab digulingkan dengan cara yang lebih ekstrem. Ben Ali di Tunisia bertempiaran lari ke Saudi dan Muammar Ghadafi di Libya mati dibunuh. Presiden Yaman, Ali Abdullah Salleh diserang dan hampir terbunuh. Bekas Presiden Mesir, Husni Mubarak pula kini sedang menanti perbicaraan semula oleh kerajaan baru pimpinan Muhammad Mursi.

PRU13 Meriah

Dengan segala perkembangan ini, UMNO kini sudah kecut perut. Bayangan kekalahan dan hilang kuasa semakin menjelma. Ini yang menjadikan PRU13 merupakan PRU paling meriah yang akan berlangsung. Angin perubahan yang melanda rakyat rata-ratanya menunjukkan ingin merasai perubahan kerajaan setelah lebih 50 tahun peluang hanya diberikan kepada UMNO-BN.

Dalam kemeriahan demam PRU ini, muncul sebuah NGO baru yang kini vocal dalam menyuarakan pandangan dan kritikan khususnya kepada Pakatan Rakyat (PR) mengumumkan akan turut terlibat dengan menghantar calon untuk bertanding dalam pilihan raya. Tindakan mencemar duli ini, jika dipandang dari sudut demokrasi, maka ianya dialu-alukan. Semoga dengan penyertaan mereka, akan memberikan mereka gambaran sebenar dunia politik kepartian, setelah sekian lama melihat lapangan politik negara dari luar pagar.

Namun, apabila dipandang dari sudut tujuan, matlamat dan strategi NGO bernama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) ini untuk menyertai pilihan raya, ia menimbulkan pelbagai persoalan. Salah satu tujuan mereka seperti yang dinyatakan presidennya iaitu Al Fadhil Ustaz Abdullah bin Zaik, yang saya kira menjadi kesimpulan kepada semua tujuan lain adalah untuk membantu mengukuhkan kedudukan politik orang Islam demi masa depan agama, bangsa dan negara.

Apabila diteliti secara teknikal, persoalan utama yang timbul adalah apakah peranan yang akan dimainkan oleh ISMA jika mereka menghantar calon untuk bertanding dalam PRU13. Menjadi tradisi PRU di Malaysia, pertembungan yang berlaku kebanyakkannya adalah perlawanan satu lawan satu iaitu pihak BN dan lawannya. Untuk PRU13 ini, dengan menilai iklim politik semasa, hampir pastinya semua kerusi Parlimen dan DUN akan ditandingi oleh dua parti gabungan utama di Malaysia iaitu BN dan PR.

Potensi Calon Bebas

Realiti ini akan menyebabkan tiada satu kerusi pun yang akan berlaku kemenangan tanpa bertanding, atau hanya satu pihak sahaja yang menghantar calon. Oleh itu, jika ada pihak lain selain dua parti gabungan ini ingin bertanding, maka pastinya mereka akan berhadapan dengan calon dari BN dan PR yang kemudiannya akan membawa kepada pertandingan tiga penjuru atau lebih.

Maka, menurut pemerhatian saya, penyertaan ISMA akan menimbulkan tiga kemungkinan peranan yang akan dimainkan mereka. Pertama, calon ISMA akan menjadi calon bebas sepenuhnya. Kedua, calon ISMA menjadi calon bebas yang mesra dengan mana-mana parti gabungan utama. Ketiga, ISMA akan diberi laluan oleh mana-mana pihak untuk bertanding mewakilinya.

Jika kita menolak kemungkinan ada kompromi daripada BN atau PR kepada ISMA, maka ISMA pastinya akan menjadi calon bebas. Samada bebas sepenuhnya atau bebas yang berpihak, saya tidak mahu mengulasnya. Apa yang hendak diperhatikan adalah potensi calon bebas dalam PRU di Malaysia setakat ini tidak lebih daripada pihak yang akan memeriahkan suasana, atau menjadi pemecah undi kepada parti gabungan yang bertanding.

Dalam sejarah PRU, amat sedikit calon bebas yang berjaya memenangi kerusi. Calon bebas yang berjaya ini hanya di beberapa kerusi di Sabah dan juga calon bebas yang meminta laluan dari parti gabungan seperti YB Datuk Ibrahim Ali di kerusi Pasir Mas pada PRU12 yang lepas. Kebanyakan calon bebas yang lain kalah teruk di kerusi yang dipertandingkan dan kehilangan wang deposit.

Apakah Pilihan ISMA?

Oleh itu, jika diteliti dari sudut matlamat ISMA yang ingin menyertai pilihan raya secara serius, agak janggal jika ISMA menyertai PRU hanya sekadar pemeriah suasana dan ingin menginfaqkan wang depositnya kepada SPR. Tetapi, jika dinilai pula dari sudut kemampuan ISMA memenangi pilihan raya, bagi saya ini juga masih samar-samar.

Kekuatan mana-mana entity yang menyertai pilihan raya bukan boleh diukur dengan kekuatan media Youtubenya sahaja, juga bukan boleh diukur berdasarkan respon hangat yang diperolehinya apabila setiap kali memberikan ulasan politik. Kekuatan dalam pilihan raya diukur dengan kekuatan jentera, media yang menyeluruh, penyokong, kekuatan menggempur, dan juga kemampuan masuk ke peringkat akar umbi masyarakat.

Oleh itu, jika dinilai dari sudut reality dan kebiasaan PRU, jika ISMA benar-benar bertujuan untuk memenangi kerusi, ISMA perlu menjadi calon bebas yang mesra terhadap mana-mana parti gabungan besar agar mereka diberikan laluan untuk bertanding satu lawan satu. Jika ISMA menyertai politik sekadar untuk memecahkan undi agar pihak yang disokongnya menang, maka cukuplah ISMA menjadi calon bebas yang akan mengimplikasikan perlawanan tiga penjuru di kerusi yang akan ditandinginya.

Namun begitu, saya tidak dapat menilik pilihan manakah yang akan diambil oleh ISMA. Apa yang saya ingin kupas dalam artikel yang mungkin panjang ini adalah kesan penyertaan ISMA dalam PRU13 dengan mengambil sudut pandangan ‘paling sangka baik’ yang saya mampu. Dengan ini, kita dapat menilai sejauh mana penglibatan ISMA ini akan menguntungkan Islam dan mencapai tujuan yang mereka gariskan.

Sebelum kita ingin meneliti lanjut percaturan politik yang akan berlaku, penting untuk kita mengetahui terlebih dahulu apakah pendirian dan pandangan ISMA terhadap parti-parti politik di Malaysia kerana pendirian mereka ini akan memberikan kesan utama terhadap tindakan politik mereka. Seperti ilmu Qawaidh Fiqhiyyah, sesuatu hukum itu dapat diqiaskan daripada hukum yang lain berdasarkan kaedah yang dijadikan asas dalam penilaian.

Maka, penilaian saya yang berikutnya berkenaan perbincangan ini adalah berteraskan pendirian dan gesaan-gesaan yang pernah ISMA suarakan terhadap parti-parti politik utama di Malaysia khususnya parti yang pernah ditegur dan dikritik oleh ISMA. Saya mengkhususkan pendirian ISMA ini terhadapapa yang pernah disuarakan mereka samada melalui kenyataan terbuka pimpinan mereka atau maklumat yang saya dapat secara terus daripada ahli-ahli mereka.

Pendirian ISMA Terhadap Dua Parti Besar Orang Melayu

UMNO dilihat oleh ISMA sebagai parti Islam yang memperjuangkan Islam, bangsa Melayu dan Raja-raja Melayu. Ini banyak disebut oleh ISMA di dalam buletinya apabila menamakan UMNO sebagai parti Islam seperti PAS. Walaupun ISMA mengakui bahawa UMNO amat bermasalah terutamanya dalam masalah ketelusan dan penjagaan hak rakyat, tetapi semua itu dilihat masih boleh dimaafkan apabila bertembung dengan perkara yang bagi ISMA lebih utama iaitu orang Melayu khususnya UMNO dan PAS perlu bersatu dan berkerjasama demi kebaikan orang Melayu.

Pada saya, apa yang kelihatan pelik di sini adalah harapan menggunung masih diberikan kepada UMNO untuk menjaga Islam dan bangsa Melayu walaupun secara fakta dan sejarah telah terbukti UMNO banyak mengkhianati Islam, bangsa Melayu dan Raja-raja Melayu. Contohnya, masalah didikan kepada remaja yang banyak dihalakan kea rah hiburan melampau, isu hudud, isu royalty, penafian hak kepada rakyat yang menyokong PAS, penyelewengan, ketirisan, kebocoran dana negara, krisis perlembagaan 1992 berkenaan kuasa raja-raja, dan pelbagai lagi rekod yang kemas tersimpan dalam lipatan sejarah.

Berkenaan PAS, ISMA kerap mengulangi pendirian mereka bahawa mereka menyayangi PAS dan mahukan PAS terus istiqamah memperjuangkan Islam, walaupun banyak tindakan yang ISMA lakukan mampu untuk menjejaskan PAS. ISMA secara tidak langsung membahagikan PAS kepada dua pihak iaitu yang pertama pihak PAS tulen dan kedua pihak PAS ‘celup’ atau pihak di dalam PAS yang komited dan rapat dengan rakan PR yang lain iaitu PKR dan DAP (perkataan celup ini adalah pilihan saya sendiri kerana bertepatan dengan antonim bagi tulen).

Dengan pembahagian ini, ISMA dilihat menyokong pihak PAS yang tulen dan sangat vokal terhadap pihak PAS celup, dan mereka menggesa supaya PAS mengekalkan perjuangan PAS yang asal seperti yang dipegang sebelum mengadakan kerjasama dalam PR, walaupun keadaan sebenarnya adalah PAS tidak pernah mengubah dasar perjuangan. Yang berlaku adalah PAS mengubah slogan dan pendekatan politik. Selain itu, bagi ISMA, PAS perlu dominan dalam PR dan mengetuai pakatan ini jika memerintah Malaysia. Jika tidak, PAS perlu mengkaji semula dasar tahalluf siyasi yang dijalankan kini dan jika perlu, PAS harus keluar daripada PR.

Perbandingan Hubungan Bersama UMNO dan PAS

Pada pandangan saya, jika dinilai perbandingan secara realiti antara hubungan ISMA-UMNO dan ISMA-PAS, ISMA dilihat lebih menyantuni UMNO dan amat vokal terhadap PAS. ISMA beralasan bahawa PAS adalah parti Islam harapan yang perlu lebih banyak ditegur jika mereka tergelincir daripada landasan mereka. Namun, beberapa kritikan ISMA dilihat agak keterlaluan seperti mengatakan PAS hilang identity, melabel beberapa pimpinan PAS sebagai liberal, membuat komentar terhadap isu-isu yang melibatkan PAS secara tidak adil dan pelbagai lagi tindakan yang vokal terhadap PAS.

Berbeza pula dengan UMNO, ISMA dilihat tidak banyak mengkritik keras UMNO dan lebih mengutamakan sangka baik terhadap UMNO. Jika ada kritikan dibuat, kritik itu dilihat terlalu sopan santun dan bagi saya cukup sekadar melengkapkan ‘kouta teguran’. Apatah lagi apabila menyentuh berkenaan isu-isu penyelewengan dan kezaliman UMNO kepada rakyat, boleh dikatakan tiada pendirian rasmi dibuat ISMA berkenaannya walaupun isu yang timbul menyentuh hak orang Melayu secara langsung atau tidak langsung. Contohnya, isu Bersih, royalty Kelantan dan hukum hudud.

Di sinilah timbul kontroversi di mana ISMA dilihat sangat mesra UMNO dan sebaliknya pula terhadap PAS, hinggakan ISMA dianggap oleh sesetengah pihak sebagai alat UMNO untuk berhadapan dengan PAS dalam PRU akan datang. Apabila ISMA mengumumkan akan menyertai pilihan raya, ramai mula membuat andaian ISMA akan menjadi calon UMNO atau diberi laluan oleh UMNO untuk menentang PAS. Ditambah lagi dengan komitmen ISMA yang selama ini mengkritik keras PAS dan PR memberikan satu petunjuk jelas bahawa hampir mustahil penyertaan ISMA dalam PRU akan datang ini bertujuan memberikan keuntungan kepada PR.

Pada pandangan saya, jika benar ISMA berperanan sebagai NGO bebas yang ingin melihat perpaduan dan kesatuan di kalangan umat Islam, ISMA perlu adil dalam memberikan kritikan. ISMA bebas untuk tidak bersetuju dengan dasar PAS dan mengkritiknya, namun kepincangan dan kezaliman yang dilakukan UMNO terhadap PAS, umat Islam dan harta negara seharusnya mendapat perhatian ISMA.

Namun, ini tidak berlaku. PAS terus menerus dikritik walaupun perkara yang dikritik itu termasuk dalam perkara ijtihad dan hal ehwal dalaman PAS. Sedangkan kezaliman UMNO yang jelas nyata bercanggah dengan Islam dan menzalimi hak rakyat Malaysia termasuk masyarakat Melayu, tidak diulas dan diambil peduli secara serius oleh ISMA. Di sinilah timbul kehairanan saya, bentuk perjuangan Islam dan Melayu apakah yang dibawa oleh ISMA jika terlalu banyak isu yang menyentuh hak orang-orang Melayu dan keadilan pemerintahan Islam tidak termasuk dalam penilaian dan agenda perjuangan ISMA.

Pandangan ISMA Terhadap PKR, DAP dan MCA

ISMA dengan jelas melabelkan PKR sebagai parti liberal walaupun PKR ditunjangi oleh pemimpin berbangsa Melayu dan beragama Islam. Dalam apa jua komentar ISMA berkenaan politik, tidak pernah kelihatan ISMA memberikan pandangan positif dan membina kepada PKR. Pendirian ISMA terhadap PKR ini mungkin lahir daripada pendekatan PKR dalam politik negara yang ISMA rasakan lebih mengutamakan keadilan social daripada banyak bercakap berkenaan Islam.

Sikap lantang ISMA terhadap PKR ini lebih jelas kelihatan apabila ISMA sama sekali tidak memasukkan PKR dalam agenda umatnya dan hanya memfokuskan PAS dan UMNO sebagai symbol utama perpaduan umat Islam. Sedangkan hakikat politik semasa yang tidak dapat kita elakkan adalah PKR juga disokong oleh sebahagian besar masyarakat Islam Melayu di Malaysia, di mana jika PKR diabaikan daripada agenda penyatuan Melayu, bermakna akan ada lebih 30% daripada orang Melayu diabaikan daripada disatukan.

Berkenaan DAP dan MCA, ISMA kelihatan bersikap sangat keras terhadap DAP, malah lebih keras daripada sikap ISMA terhadap MCA yang juga merupakan parti yang diwakili kaum Cina. Ini dibuktikan apabila timbul isu sensitif yang melibatkan umat Islam yang ditimbulkan oleh DAP akan dilayan sangat keras berbanding isu yang ditimbulkan oleh MCA. Bukan sekali dua MCA menunjukkan kebiadapan kepada Islam, tetapi kritikan kepada MCA kelihatan lebih lunak berbanding kritikan kepada DAP.

Mengapa MCA Menerima Layanan Lebih Baik?

Dalam penilaian saya, sikap ini mungkin timbul disebabkan pandangan ISMA bahawa dominasi UMNO dalam konteks BN lebih kuat berbanding dominasi PAS dalam PR, seperti yang dinyatakan oleh Presiden ISMA dalam pembentangan kertas kerja semasa program konvensyennya di Putrajaya tahun lepas. MCA dilihat berada di bawah kawalan dan penguasaan UMNO berdasarkan percaturan kuasa dan kerusi pilihan raya di mana UMNO sentiasa memiliki jumlah kerusi tertinggi dalam setiap penggal Parlimen Malaysia. Malahan, dalam pilihan raya umum juga UMNO akan bertanding di lebih 112 kerusi Parlimen iaitu jumlah minimum majority mudah untuk membentuk kerajaan sedangkan MCA, jika mengikut rekod PRU12, hanya bertanding di 40 kerusi Parlimen.

Jika benar ini asas yang digunakan untuk menetapkan sikap terhadap MCA, saya berpendapat sikap begini tidak adil. Dalam banyak isu membabitkan Islam yang sama-sama tidak dipersetujui oleh MCA dan DAP, kita dapat lihat asas penolakan dan tidak setuju kedua mereka adalah berbeza. Contohnya dalam isu hudud, DAP walaupun tidak bersetuju dengan PAS, namun asas ketidaksetujuan mereka adalah mereka berpandangan hudud bercanggah dengan semangat Pelembangaan Persekutuan.

Berbeza dengan MCA, mereka tidak bersetuju dengan hudud disebabkan mentality mereka yang memandang hina hukum Allah ini. MCA melalui presidennya yang berucap semasa Perhimpunan Agong MCA tahun lepas, yang mana ketika ucapan itu dibuat Presiden UMNO Dato’ Seri Najib ada dalam majlis tersebut, dengan jelas menyatakan hukum hudud tidak menyelesaikan masalah, malah negara-negara Islam yang mengamalkan hudud merupakan antara negara yang paling korup dalam dunia.

Ratib yang dimainkan MCA adalah sama dengan zikir yang pernah dilafazkan pemimpin UMNO sebelum ini seperti hudud tidak adil, membawa negara ke arah ketidakstabilan, dan kemunduran. Dalam isu bersalaman antara lelaki dan perempuan, MCA pernah menghina calon muslimat PAS yang bertanding dalam PRK N05 Tenang di Johor sebagai tidak mesra rakyat hanya kerana tidak bersalam dengan pengundi lelaki. Jika ISMA adil dalam penilaian, seharusnya layanan kepada kedua-dua parti ini adalah sama dan sekata. Tidak adil sekiranya DAP dikritik dengan keras sedangkan MCA adakalanya bersikap jauh lebih biadap daripada DAP dalam isu-isu yang melibatkan agama Islam.

Berkenaan pendirian ISMA terhadap parti-parti lain khususnya parti kompenan BN seperti MIC, Gerakan, PPP dan lain-lain, saya rasa tidak perlu diulas kerana parti-parti ini boleh dikatakan tidak banyak terlibat dengan isu-isu umat Islam. Malah, ISMA sendiri boleh dikatakan tidak pernah menyentuh dan menyatakan pendirian yang jelas kepada mereka lantaran ketidakterlibatan mereka dalam isu-isu Melayu dan agama Islam di Malaysia.

Bersambung di bahagian dua (andaian percaturan politik ISMA dan kesannya).


Mohd Azrul Azuan bin Idris
2.00 pm, 5 Februari 2013.

Monday, January 28, 2013

Perlukah Semua Perkara Dipolitikkan?


Pilihanraya Umum ke 13 semakin hampir. Hampir semua topik perbualan harian masyarakat di Malaysia adalah politik dan perubahan. Zaman kini bukan seperti zaman dahulu. Kecanggihan teknologi dan keberkesanan sebaran maklumat menjadikan rakyat kini semakin celik maklumat dan pintar berpolitik.

Kehangatan politik ini adakala berjangkit kepada semua urusan kehidupan kita. Dari satu sudut, ianya baik untuk menggalakkan kita berfikir, tetapi dari satu sudut ia sebenarnya membahayakan kesihatan akal kita dalam berfikir. Persoalan yang timbul dalam benak saya, perlukah semua perkara dipolitikkan?

Dalam keadaan kehangatan politik sekarang, seharusnya kita tidak terlalu larut dengan berpolitik sehingga semua perkara mesti dinilai dengan kacamata politik. Bagi saya, apabila membaca atau mengetahui mana-mana isu, fikir dahulu dengan teliti ianya isu apa, kepentingannya dan perlu dilihat dari kacamata apa.

Selepas melakukan semua ini, kemudiannya kita dapat memastikan ianya perlu dilihat dari sudut politik, maka teruskanlah mengulas dan berfikir dengan lebih lanjut tentangnya. Semoga dengan sikap cakna kita ini mampu menjadikan kita seorang rakyat yang celik dan sayang akan negaranya.

Sebaliknya pula, jika kita mendapati ianya bukan berkaitan dengan isu politik, dan seharusnya dibebaskan dari penilaian politik, maka mujahadahlah untuk berlaku adil dalam mengulasnya. Ini adalah kerana isu-isu seperti ini adakalanya berkaitan dengan kita dan keseluruhan masyarakat. Maka, ia perlu dinilai dengan adil tanpa berat sebelah, agar tanggungjawab terhadapnya diambil oleh semua pihak tanpa pengecualian dan tuduh menuduh.

Namun begitu, realitinya, penilaian adil ini susah berlaku lebih-lebih lagi jika isu itu boleh meraih keuntungan politik buat kita. Keghairahan politik zaman kini kadang kala membuatkan kita akan menilai terus mana-mana isu dengan menggunakan kacamata politik terlebih dahulu. Kemudiannya apa jua hujah dan ulasan akan diarahkan kepada membenarkan pandangan kita walaupun sebenarnya pandangan kita itu salah.

Contoh yang mudah, perbandingan antara kes pembunuhan Altantuya dan kes kematian adik William di Sungai Klang. Kes pembunuhan Altantuya sememangnya boleh kita nilai dari sudut kacamata politik kerana terdapat banyak kekeliruan dan penyembunyian fakta dalam perbicaraan mengenainya. Tambahan pula, terdapat bukti mengaitkan kes itu dengan kepentingan negara iaitu pembelian kapal selam yang kini sedang melalui perbicaraan di mahkamah Perancis.

Tetapi dalam kes adik William, saya memandang kes ini lebih kepada soal tanggungjawab ibu bapa menjaga anak-anaknya ketika berada di luar rumah. Walaupun ada kaitan 'bau-bau bacang' dengan tanggungjawab polis, tetapi faktor utama kehilangannya adalah kecuaian ibu bapanya yang membiarkan anak-anak kecil mereka sendirian di dalam kereta.

Jika kita ghairah mengaitkan kes ini dengan menghalakan kecaman kepada pemimpin negara, saya berfikir andai pula kes yang sama berlaku ketika Pakatan Rakyat memimpin Malaysia, adakah kita akan memberi pandangan yang sama seperti sekarang? Mungkin kita akan akui kes ini adalah berpunca daripada kecuaian ibu bapa ketika menjaga anaknya.

Zaman kini adalah zaman perubahan. Bukan perubahan kerajaan sahaja, minda kita pun perlu diubah. Memandang semua isu dari kacamata politik adalah satu didikan kepada minda kita untuk menjadi taksub, tidak rasional dan mendahulukan emosi dari berfikir. Semoga harapan kita untuk melihat perubahan kepada negara kita ini seiring dengan usaha kita mengubah paradigma pemikiran kita.

Saya penyokong PAS, mahukan perubahan dalam kepimpinan negara dan minda kita semua =)


Mohd Azrul Azuan bin Idris.
8.43 am, 28 Januari 2013.

http://www.mohdazrul.net/2013/02/isma-dan-pilihanraya-satu-penilaian_10.html