Thursday, March 14, 2013

Menjelaskan lagi Kecelaruan Fiqh ISMA..



PANDANGAN BALAS KEPADA PENGERUSI MAJLIS ULAMAK ISMA 

Pertamanya saya mengucapkan terima kasih kepada Tuan Pengerusi Majlis Ulamak Isma atas perkongsian pandangan beliau ke atas status saya sebelum ini.

Pengenalan panjang lebar di awal tulisan tentang diri beliau,pencapaian Ilmiah,dan hubungan beliau dengan Para Sarjana Besar termasuk Fadhilatus Syaikh Ra'fat Uthman jelas menunjukkan keahlian bel
iau untuk berbincang tentang persoalan ini dan mewajibkan saya untuk menghormati beliau.

Akan tetapi,penghormatan saya terhadap pencapaian Ilmiah beliau dan sebagainya,tidaklah menghalang saya untuk memberikan pandangan saya yang kerdil ini dan memilih untuk berbeza pandangan dengan beliau.

PERTAMA : TUJUAN UTAMA PERKONGSIAN STATUS 

Tujuan utama saya menulis status tersebut dan menaqalkan pandangan Prof Dr Ra'fat adalah atas dua sebab :

1. Sebagai teguran kepada sebahagian sahabat yang teramat mudah mengeluarkan hukum dalam persoalan ini semata-mata dengan memetik Ayat Al-Qur'an :

لَا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ 

Lalu mereka menyebutkan bahawa : "Tidak boleh melantik dan mengundi Non-Muslim ke Parlimen kerana ayat ini melarang mengambil pemimpin selain dari mukmin.

Ditambah lagi dengan sebahagian pihak yang berhujah dengan : "Mengundi Non-Muslim bermakna memberi wala' kepada mereka dan ini adalah Haram"

Pandangan-pandangan 'bermudah' sebeginilah yang menjadi fokus tulisan saya,kerana mereka yang mendalami bidang Fiqh Islami sangat maklum bahawa disiplin perbincangan hukum hakam bukanlah sebegitu.

2. Tujuan keduanya sebagai teguran kepada sebahagian pihak yang mana dengan semata-mata merujuk kepada beberapa Kitab Politik Islam yang dikarang oleh Fuqaha' Besar kita yang terdahulu seperti Al-Imam Al-Mawardi (Ahkam Sultaniah),Imam Al-Haramain Al-Juwaini (Al-Ghayasa' @ Ghiyaasul Umam Fi Ijtiyas Az-Zulam) dan lain-lainnya, semata-mata dengan membaca kitab-kitab sebegini mereka terus mengeluarkan pandangan "Haram Melantik Non-Muslim ke Parlimen atau Menjadi Menteri" tanpa terlebih dahulu memahami perbezaan 'Bentuk' dan 'Konsep' Kenegaraan dalam realiti semasa. 

Para Fuqaha’ sering mengingatkan bahaya perbuatan mengeluarkan hukum hakam semata-mata dengan membaca Kitab terdahulu,tanpa memastikan persamaan atau perbezaan pada isu yang dibincangkan,termasuklah Fadhilatus Syaikh Dr Ra’fat sendiri yang berulang kali menyebutkan bahawa terdapat perbezaan yang sangat ketara antara sistem Negara yang dibincangkan dalam karangan Fuqaha’ terdahulu dan bentuk Negara dalam konteks semasa,yang mana perbezaan-perbezaan itu membawa kepada berbezanya hukum antara keduanya.

Ucapan dengan makna sebegini juga disebut oleh Fadhilatus Syaikh Yusof Al-Qaradhawi dalam mukaddimah kitab beliau Fiqh Daulah.

Inilah tujuan utama perkongsian status tersebut. 

Pemilihan pandangan Fadhilatus Syaikh Ra'fat untuk ditulis dalam status tersebut hanyalah sebagai contoh kepada sahabat-sahabat semua bagaimana Fuqaha dan Ahli Ilmu berbicara soal hukum hakam.

Saya memilih untuk berkongsi pandangan beliau kerana saya berpeluang belajar dengan beliau.

Fadhilatus Syaikh Ra'fat menyatakan bahawa mencalonkan Non-Muslim ke Parlimen adalah Halal dan ianya bukanlah termasuk dalam 'Wilayah' atau 'Wala'.

Antara perbezaan utama yang disebutkan beliau ialah terhadnya kuasa bagi Ketua Negara,Perdana Menteri dan Menteri-menteri apatahlagi Ahli Parlimen. Setiap jawatan terebut terikat dengan Perlembagaan dan terbatas oleh Undang-Undang. Bukan seperti Pemerintah zaman dahulu yang memerintah secara kuasa penuh dan boleh bertindak atas pandangan individu.

Dengan keterbatasan bidang kuasa masing-masing inilah juga yang membuatkan Para Guru saya yang lain di Darul Ifta’ menyatakan bahawa ‘aqad’ antara Rakyat dengan Pemimpin dalam konteks Negara moden hari ini ianya adalah ‘Aqad Idarah’ (yakni Pengurusan dan Pentadbiran – Kabinet hanya menguruskan Negara dan melaksanakan apa yang ditetapkan oleh rakyat melalui Perlembagaan dan Undang-Undang Negara. 

Pemimpin Negara tidak boleh bertindak melampaui batas perlembagaan dan undang-undang.

Pemimpin terbatas tempoh khidmatnya bahkan Rakyat berhak ‘memecat’ setiap pemerintah yang tidak menunaikan kehendak mereka melalui peti undi) 

Selaian beliau,antara Fuqaha’ semasa yang menyatakan mencalonkan Non-Muslim ke Parlimen adalah tidak haram ialah :

1.Prof Dr Yusof Al-Qaradhawi Hafizahullah
2.Prof Dr Abdul Karim Zaidan 
3.Prof Mohd Salam Madkur
4.Almarhum Al-Imam Muhammad Abduh dan lain-lain lagi.

(Rujuk : Al-Intikhabat Ahkam Wa Dhowabit Oleh Akram Kassab)

Saya tidak menyangka perkongsian pandangan atas nama Fadhilatus Syaikh Ra'fat seakan menjadi ulasan utama pula oleh Tuan Pengerusi Majlis Ulamak Isma.

KEDUA (SAMPINGAN) : JAWAPAN KEPADA SAUDARA FAIZAL SABHON 

Perkongsian saya juga turut diulas oleh sahabat baik saya Saudara Faizal Sabhon yang saya kenal sebagai seorang yang sangat menitik beratkan nilai akademik dalam memberi pandangan dan tidak berpihak. Saya doakan agar sikap sebegitu terus kuat dan kekal sebati dalam dirinya.

Kesimpulan pandangan beliau :

Pandangan Fadhilatus Syaikh hanya terpakai dalam realiti Mesir kerana di Mesir,ahli Perlimennya memang hanya akan berperanan dalam bidang Legislatif (Menggubal Undang-Undang) dan tidak sama sekali tidak terlibat sama sekali dalam Kabinet (Hukumah).

Sahabat saya Saudara Faizal melakukan dua kesilapan di sini.

Pertama : Beliau mengulas pandangan Fadhilatus Syaikh Ra'fat yang saya naqalkan - dalam keadaan beliau tidak wujud dalam perbincangan tersebut.

Kedua : Menyebutkan bahawa pandangan itu hanya terpakai di Mesir tidak di Malaysia hanya berasaskan andaian beliau.

Hakikatnya : Fadhilatus Syaikh Ra'fat menjawab dalam keadaan memahami Sistem Parlimen yang wujud di serata dunia. 

Secara ringkasnya : Fadhilatus Syaikh Ra'fat menyebut secara jelas bahawa tidak menjadi masalah untuk melantik mereka menjadi Ahli Parlimen (Legislatif) juga menjadi Menteri (Eksekutif) dan kedua-duanya tidak termasuk dalam soal wilayah atau wala'. 

Tambahan pula di Malaysia,kedudukan Yang di Pertuan Agong dan Perdana Menteri,dua pihak yang berkuasa paling besar di sandang oleh Muslim.

Kesimpulannya,pandangan Saudara Faizal tidak dapat diterima pakai dalam perbincangan ini.

KETIGA : SALAHKAH KANDUNGAN SOALAN SAYA KEPADA FADHILATUS SYAIKH DAN ADAKAH IANYA PERLU DITAMBAH?

Kembali kepada Tuan Pengerusi Majlis Ulamak Isma.

Sebagaimana yang kita maklum bahawa sesuatu 'Soalan' datangnya dari 'Tasawwur Masalah' yang ingin disoalkan.

Saya bertanya soalan yang jelas dan ianya merujuk kepada "
صورة المسألة" (Bentuk situasi yang khusus) iaitu sekiranya bertembung antara Calon Muslim yang Zalim dan tidak layak memerintah menentang Non-Muslim yang Adil dan Telus.

Surah Masalah ini jelas. 
Jadinya,soalan saya tentang surah ini juga jelas.
Jawapan Fadhilatus Syaikh juga jelas. 

Apabila ada sebahagian pihak yang berkongsi pandangan ini,mereka tidak boleh dikira melakukan kesalahan,dan sememangnya mereka berhak mengambil panduan dari pandangan tadi sekiranya mereka berhadapan dengan situasi tersebut.

Ini kerana mereka berkongsi soalan yang khusus : iaitu "situasi calon Muslim Zalim menentang Non-Muslim yang Adil".

Hukumnya jelas,dalam situasi tersebut - kita boleh memilih Non-Muslim yang Adil.

Dan adapun persoalan yang ditimbulkan oleh Tuan Pengerusi Majlis Ulamak ISMA tentang aspek-aspek yang perlu ditambah dalam soalan(
قيود الأسئلة) ianya tidaklah akan membatalkan "surah masalah@situasi soalan" yang pertama.

Ia hanya akan membawa kepada "surah kedua - situasi kedua",dan surah kedua ini juga pasti ada jawapannya yang tersendiri.

Begitulah sekiranya ditambah aspek-aspek lain.

Ianya tidak akan membatalkan jawapan kepada situasi-situasi sebelumnya kerana setiap situasi itu berbeza.

KEEMPAT : BAGAIMANA PULA DENGAN PETIKAN YANG DIBAWA OLEH TUAN PENGERUSI MAJLIS ULAMAK ISMA YANG MENYEBUT SECARA JELAS FADHILATUS SYAIKH MENYATAKAN HARAM HUKUMNYA MENCALONKAN NON-MUSLIM(DALAM PETIKAN MENYEBUT QIBTIYYAH) KE MAJLIS SYURA DAN MAJLIS SYA’AB(DEWAN RAKYAT DAN DEWAN NEGARA MESIR) ?

Sebagaimana yang telah saya nyatakan dalam status sebelum ini,Fadhilatus Syaikh menyebutkan ketika situasi bertembung antara Muslim yang Zalim dan Non-Muslim yang Adil,kita perlu memilih Non-Muslim yang Adil.

Fadhilatus Syaikh juga menyebut bahawa hukum asal mencalonkan Non-Muslim ke Parlimen atau memegang jawatan Menteri dalam Kabinet adalah harus.

Bahkan beliau menyatakan sekiranya kita membuat pembahagian secara nisbah berasaskan jumlah penduduk untuk kerusi Parlimen dan Menteri juga adalah harus. 

Sebagai contoh 60% kerusi Parlimen Muslim dan 40% ahli Parlimen Non-Muslim.

Begitu juga dengan pembahagian di Kabinet.
Tidak ada sebarang hujah untuk pengharamannya.

Bahkan ketika bertembung dua calon : Muslim dan Non-Muslim yang sama Adil dan telus,Fadhilatus Syaikh menyebut tidak wajib untuk memilih Muslim atas dasar dia Muslim. 

Bahkan pilihan mestilah di atas dasar siapa yang lebih layak untuk memikul tugas -
الأصلح - di Parlimen @ Menteri. Bukan atas dasar Islam atau tidak. 

Jadi bagaimana pula Petikan oleh Tuan Pengerusi Majlis Ulamak Isma yang diambil oleh Kitab ‘Al-Intikhabat oleh Syeikh Akram Kassab?

Di sinilah kita dapat melihat Rahmat Ilmu dan keluasan Rahmat Allah S.W.T.

Apa yang didapati oleh orang terdahulu,juga diberikan kepada orang terkemudian.

Tuan Pengerusi mendapat nikmat untuk berbincang dan bertanya soalan kepada Fadhilatus Syaikh , Alhamdulillah kami anak-anak murid yang terkemudian juga mendapat nikmat untuk bertanya dan berbincang. 

Saya berpeluang untuk bertanya kepada Fadhilatus Syaikh tentang petikan tersebut. 

Petikan yang dinisbahkan terhadap Fadhilatus Syaikh tercatat pada Kitab tersebut di halaman 61 pada nota kaki. 

Fadhilatus Syaikh menyatakan kepada kami di dalam kelas bahawa pihak yang menaqalkan kalam beliau telah tersalah petik pandangan atau tidak daqiq (teliti) dalam menaqal. 

Kata beliau lebih kurang maknanya : “Aku cuma membincangkan (Pengharaman tersebut) dari Sudut Pencalonan Ketua Negara sahaja,bukannya Dewan Rakyat atau Kabinet.
Aku tidak mengharamkan Bukan Muslim dicalonkan ke Majlis Syura dan Majlis Sya’ab. 
Pengarang tersalah petik antara ucapan aku dan ucapan Dr Al-Birri”.

Saya juga diminta oleh Fadhilatus Syaikh untuk menyemak semula pautan di internet tersebut untuk tindakan selanjutnya.

Alhamdulillah ‘ala an-ni’mah!

Ingin saya jelaskan sekali lagi,perkongsian di sini bukan berfokus kepada Fadhilatus Syaikh Ra’fat sahaja,bahkan kepada tokoh-tokoh Ulamak semasa yang lain yang turut berpandangan dengan pandangan yang sama. 

Jawapan-jawapan huraian yang berkaitan Fadhilatus Syaikh hanyalah untuk menjawab persoalan yang ditimbulkan.


KELIMA : BEBERAPA PERSOALAN

Tentang persoalan lain-lain situasi oleh Tuan Pengerusi Majlis Ulamak Isma dan kaitannya dengan kedudukan Umat Islam dan Perlaksanaan Syariatnya,jawapan saya :

1.Sekiranya calon itu adalah calon yang terbukti merugikan Islam dan Syariatnya :

Jawab saya,saya bersetuju kita tidak boleh mengundi mereka. 
Bukan sekadar Non-Muslim,bahkan Muslim sendiri yang telah terbukti menghina Hudud dan Parti Muslim yang terbukti menyekat perlaksanaan Hudud dan sebagainya mesti dijatuhkan.

Berbaki lagi : Penilaian terhadap Non-Muslim samada mereka benar memusuhi Islam atau tidak,siapakah yang akan menilainya? 

Jawapan saya – rakyatlah yang berhak menilai. 

Saya sendiri - selaku rakyat - memilih untuk menilai dengan penilaian oleh Pimpinan PAS yang terbukti Istiqamah untuk memperjuangkan Islam selama ini.

Bukan penilaian Utusan Malaysia yang terbukti memfitnah. 

Segala kekusutan dan ucapan-ucapan yang dinisbahkan kepada Non-Muslim yang bersama PAS&PR yang didakwa sebagai ucapan memusuhi Islam,Pemimpin PAS telah berjumpa sendiri dan mendapatkan penjelasan dari tertuduh.

Pemimpin PAS bukan sekadar menghukum dari jauh,jauh sekali untuk menghukum dengan persaksian Utusan Malaysia.

Sebagaimana Para Ulamak Ummah menitikberatkan soal Islam dan Syariatnya,begitulah juga PAS.
Saya yakin juga ISMA sama matlamatnya.

Titik perbezaannya ialah PAS menilai bahawa ruang untuk mengembang dan menegakkan Islam itu lebih cerah bersama PR walaupun adanya cabaran,manakala ISMA berpandangan sebaliknya.

Al-Fadhil Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Hafizahullah sendiri telah menegaskan :

““Kita menerima tahaluf siyasi dengan persetujuan Malis Syura Ulama dan Muktamar PAS, kerana itu ia adalah suatu jihad untuk melaksanakan cita-cita perjuangan yang telah kita sepakati,”
"PAS mengulangi pendirian tegas bahawa kerjasama parti itu dalam Pakatan Rakyat bersama DAP dan Parti KeADILan Rakyat (PKR) tidak merugikan orang Melayu dan Islam.

"PAS akan meneruskan kerjasama dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat seperti DAP dan PKR selagi dapat mempertahankan Melayu Islam.

Namun, katanya jika kerjasama itu merugikan Melayu dan Islam, PAS tidak ragu-ragu untuk keluar dari Pakatan Rakyat."

Saya berpandangan,eloklah kiranya Al-Fadhil Tuan Pengerusi Majlis Ulamak ISMA melapangkan sedikit masa untuk menghirup teh bersama Pemimpin PAS untuk mendengar sendiri pandangan mereka sambil-sambil menjelaskan pandangan ISMA.

PENUTUP : 

Saya berharap agar matlamat saya :

1. Memperingatkan sahabat-sahabat agar tidak bermudah-mudah dalam mengharamkan mengundi non-muslimin.

2.Membuka pintu perbincangan hukum mengundi non-muslim secara lebih mendalam oleh Para Sarjana dan Ulamak kita yang berkelayakan di tanah air. Saya juga masih belajar dan mencari.

Akhir kalam – ingin saya menambah juga soalan :

“Apakah hukum sekiranya bertembung antara calon muslim berwibawa VS Non-Muslim yang Adil,tetapi mengundi Calon Non-Muslim yang adil dapat membawa Muslim yang Adil dan Amanah menjadi Perdana Menteri,mengundi calon Muslim berwibawa pula akan mengurangkan peluang untuk menaikkan Perdana Menteri Muslim yang Adil dan Berwibawa?”


Muhammad Noorazam Bin Bahador.
Arma 507.
Kaherah.
Mesir.


http://www.facebook.com/photo.php?fbid=10151489140902458&set=a.130931747457.106611.591167457&type=3&theater