CALON MUSLIM vs NON MUSLIM
OLEH AL-FADHIL USTAZ ANHAR OPIR
(BA Al-Azhar,MA Darul Ulum Cairo,sedang menyiapkan tesis PhD di Jordan)
1. Bahang Pilihanraya Umum (PRU) ke 13 Malaysia yang bakal diadakan
pada bila-bila masa sahaja menjadi lebih hangat dengan isu calon muslim
apabila bertembung dengan calon non muslim di satu-satu kawasan. Sama
ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Dewan Rakyat (Parlimen), terdapat pandangan daripada satu kumpulan yang mengharamkan undi kepada non muslim.
gambar hiasan
2. Mereka juga menegaskan bahawa hukum ini terpakai walaupun
pertembungan berlaku di antara calon muslim yang jahat dengan calon non
muslim yang baik. Kayu ukur mereka adalah agama, walaupun seseorang itu
jahat dan zalim tetapi jika beragama Islam maka kita wajib undi dan
sokong kerana lebih ‘afdhal’ berbanding non muslim yang baik tadi.
Selain itu mereka menganggap dengan mengundi non muslim sehingga
menyebabkan menang, ini membawa kepada wilayah (kekuasaan) non muslim ke
atas orang-orang Islam.
3. Mereka menyandarkan
hukum ini kepada beberapa dalil ayat al-Qur’an, antaranya firman Allah
SWT dalam surah al-Nisaa’ ayat 141:
وَلَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا
Maksudnya: Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman.
4. Seringkali juga mereka bersandarkan firman Alah Azza wa Jalla dalam surah Ali Imran ayat 28:
لَا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ
الْمُؤْمِنِينَ ۖ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَلَيْسَ مِنَ اللَّهِ فِي
شَيْءٍ
إِلَّا أَنْ تَتَّقُوا مِنْهُمْ تُقَاةً ۗ
Maksudnya: Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang
kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman.
Dan sesiapa yang melakukan yang demikian maka tiadalah dia (mendapat
perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak
menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka
(yang kafir itu).
5. Juga firman Allah SWT yang mempunyai sighah yang sama dalam surah al-Nisaa’ ayat 144:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ ۚ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil
orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang
yang beriman.
6. Ayat-ayat ini secara zahirnya
melarang kita daripada mengambil non muslim sebagai kawan, penolong, dan
termasuk juga calon untuk diundi hingga menjadi ketua yang mempunyai
kuasa. Namun istinbat hukum haram mengundi calon non muslim menerusi
ayat ini memerlukan ketelitian dan penguasaan ilmu Usul al-Feqh. Ini
kerana tidak semua teks ayat al-Qur’an boleh kita bergantung kepada
zahirnya sahaja, bahkan terdapat ayat-ayat al-Qur’an pada dalalah
(pendalilan) hukumnya adalah mu’allalah (bersebab). Selain adakah ia
bersifat mutlak kepada semua non muslim atau muqaiyyad (terikat) untuk
sebahagian daripada mereka sahaja? Seterusnya adakah kita telah
kumpulkan semua ayat al-Qur’an yang berkaitan dengan non muslim sehingga
kita boleh buat kesimpulan dan istinbat hukum haram?
7. Mungkin kumpulan tadi terlupa atau tidak bertemu dengan firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahanah ayat 8-9:
لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ
وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا
إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ . إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ
اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُمْ مِنْ
دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَىٰ إِخْرَاجِكُمْ أَنْ تَوَلَّوْهُمْ ۚ وَمَنْ
يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ.
Maksudnya:
Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada
orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak
mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah
mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanya
melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi
kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman
kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah),
sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah
orang-orang yang zalim.
8. Menerusi ayat ini, Allah
Azza wa Jalla telah membahagikan non muslim kepada dua kumpulan; pertama
adalah yang baik kepada orang-orang Islam, tidak memerangi dan mengusir
muslimin dari kediaman mereka. Manakala kumpulan kedua adalah yang
memusuhi, ,memerangi dan mengeluarkan orang-orang Islam dari rumah-rumah
mereka. Kumpulan ini seperti Musyrikin Mekah yang telah menyakiti dan
menghalau nabi SAW dan umat Islam. Inilah kumpulan yang kita tidak boleh
berkawan dan mengundi mereka. Adapun kumpulan yang pertama, kita tidak
dilarang untuk berkawan dan mengundi mereka berdasarkan dalalatu al-nas
yang tidak perlukan sebarang ta’wil. Maka ayat ini telah mengikat (qayd)
mutlaknya ayat-ayat yang digunakan oleh kumpulan yang mengharamkan undi
kepada non muslim.
9. Di samping itu, ayat yang
melarang kita mengambil non muslim sebagai kawan rapat serta penolong,
illah (sebab) nya bukan semata-mata kufurnya mereka kepada Islam. Firman
Allah SWT dalam surah al-Mumtahanah ayat 1:
يَا أَيُّهَا
الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَاءَ
تُلْقُونَ إِلَيْهِمْ بِالْمَوَدَّةِ وَقَدْ كَفَرُوا بِمَا جَاءَكُمْ مِنَ
الْحَقِّ يُخْرِجُونَ الرَّسُولَ وَإِيَّاكُمْ ۙ أَنْ تُؤْمِنُوا
بِاللَّهِ رَبِّكُمْ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman,
janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat,
dengan cara kamu sampaikan kepada mereka dengan sebab hubungan baik dan
kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah
kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka
pula telah mengeluarkan Rasulullah (SAW) dan juga mengeluarkan kamu
disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu.
10.
Ayat ini telah menafsirkan ayat-ayat yang awal di atas, bahawa larangan
Allah Azza wa Jalla menjadikan non muslim sebagai kawan rapat dan
penolong bukan hanya kerana tidak berimannya mereka, tetapi juga
bergabung dengan illah (sebab) lain iaitu menghalau dan mengusir nabi
SAW dan umat Islam daripada kediaman mereka tanpa hak. Oleh itu, jika
seorang non muslim hanya sekadar tidak beriman tanpa illah (sebab) kedua
iaitu menghalau, maka tiada larangan.
11. Ini lebih jelas lagi dengan firman Allah SWT dalam surah al-Mujadalah ayat 22:
لَا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ
Maksudnya: Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada
Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang
menentang (perintah) Allah dan rasulNya,
12.
Daripada ayat ini menunjukkan bahawa larangan berkawan dan menyokong non
muslim adalah bagi yang menentang Islam. Maka mafhumnya adalah
sebaliknya iaitu tiada larangan bagi non muslim yang tidak menentang
Islam. Persoalannya ialah bagaimana pula dengan calon muslim yang
terang-terang menentang, mempersenda dan menolak Islam menerusi ucapan
dan tulisan meraka?
13. Mengetahui perbahasan
ayat-ayat di atas menjadikan kita faham dan memperhalusi maksud muwalat
(penguasaan) non muslim yang sebenarnya dilarang oleh Islam. Dengan
kefahaman tersebut kita terhindar daripada kesilapan memetik dan
istinbat hukum hanya kerana baru berjumpa dengan satu ayat al-Qur’an
yang belum tentu dalalah (pendalilan) nya qat’ie (putus dan pasti). Ia
keliru dan mengelirukan!
14. Calon yang menang dalam
pilihanraya nanti bakal menjadi seorang wakil rakyat bukannya khalifah,
Imam atau ketua negara. Itu pun bukannya wakil kepada kesemua rakyat
tetapi hanya mewakili satu juzu’ daripada jumlah rakyat di seluruh
negara (kerusi Parlimen) atau negeri (kerusi DUN). Al-Qaradhawi
menjelaskan:
Sesungguhnya al-niyabah (perwakilan) ini merupakan
wakil kepada sebahagian orang ramai dalam kawasan tertentu, ia tidak
dianggap dalam bab al-imarah (kepimpinan) dan al-wilayah (kekuasaan)
yang hadith melarang bersungguh-sungguh atau memintanya. Seorang wakil
(rakyat) bukannya ketua, menteri atau gabenor, tetapi dia mewakili
kawasannya dalam dewan yang berfungsi untuk menegur kepimpinan, penguasa
dan para menteri. Oleh itu, dia menegur bukannya yang ditegur.
(al-Qaradhawi: Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, Dar al-Syuruq, hlmn 194)
15. Kuasa seorang wakil rakyat di Malaysia terhad dan terbatas, dikawal
dan terikat dengan undang-undang serta perlembagaan negara. Apatah lagi
ingin menyentuh sebarang urusan yang berkaitan dengan agama Islam,
perlu melepasi dan mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan
Agung dan Majlis Raja-raja. Tambahan pula jumlah non muslim tidak
majoriti dalam DUN atau Parlimen. Dan pasti wakil-wakil rakyat muslim
akan bersuara dan berperanan mempertahankan. Melainkan jika mereka hanya
datang untuk tunjuk muka kepada ‘bos’ serta klim tambang hadir
persidangan semata-mata!
16. Tidak mempunyai kuasa
penuh dan terhad ini yang menyebabkan al-Mawardi (450H) membenarkan ahli
al-Zimmah boleh dilantik menjadi menteri yang hanya bersifat membantu
melaksanakan dan melicinkan kerja seorang ketua negara. Kata al-Mawardi:
Harus seorang menteri (tanfiz) itu daripada ahli a-Zimmah meskipun dia
tidak boleh memegang jawatan menteri tafwidh (mendapat kuasa). Perbezaan
di antara kedua-dua kementerian ini berdasarkan perbezaan dua kuasa,
yang demikian itu dari empat aspek; salah satunya ialah menteri tafwidh
berkuasa untuk menentukan hukum dan menghapuskan kezaliman, sedang ini
tiada pada menteri tanfiz. (al-Mawardi: al-Ahkam al-Sultaniyah, Dar
al-Kutub al-Ilmiah, hlmn 28)
17. Menurut al-Mawardi,
menteri tanfiz (pelaksana) bidang kuasanya tertakluk kepada arahan imam
(ketua negara). Ini berbeza dengan menteri tafwidh yang mendapat kuasa
penuh untuk melakukan sebarang tindakan berdasarkan kehendak dan
pendapatnya. Abu Ya’la al-Farra’ (458H) juga menyokong pendapat ini,
iaitu dalam hal tiada kuasa penuh bahkan terbatas dan terhad, katanya:
Dan al-Kharqi menyebut sesuatu yang menunjukkan bahawa harus seorang
menteri tanfiz itu dalam kalangan ahli al-Zimmah, kerana dia membenarkan
pemberian satu juzu’ daripada zakat kepada mereka jika mereka menjadi
amil, lalu diberikan kepada mereka hak ke atas kerja mereka. Ini
menunjukkan hukum harus perlantikan mereka. (Abu Ya’la: al-Ahkam
al-Sultaniyah)
18. Hal ini tidak bercanggah dengan
pendapat Imam al-Haramain al-Juwaini (478H) yang tidak membenarkan ahli
al-Zimmah memegang jawatan menteri. Kerana yang dimaksudkan oleh
al-Juwaini adalah menteri yang mempunyai kuasa penuh dan bebas dalam
bertindak, serta berkaitan dengan syarat periwayatan dan persaksian,
kerana wakil rakyat di Malaysia tidak begitu sifatnya. Al-Juwaini
menyatakan:
Sesungguhnya kepercayaan perlu untuk dijaga,
seorang zimmi itu tidak boleh dipercayai dalam perbuatan dan
kata-katanya, begitu juga gerak-gerinya. Periwayatannya ditolak,
demikian juga dengan persaksiannya ke atas orang-orang Islam, jadi
bagaimanakah diterima kata-katanya pada perkara yang bakal menjadi
sandaran dan rujukan imam (ketua negara) orang-orang Islam. (al-Juwaini:
Ghiyath al-Umam fi al-Tiath al-Dzulam, Dar al-Dakwah, hlmn 114)
19. Ini dalam hal melantik menteri, adapun wakil rakyat ia lebih rendah
darjatnya dan tidak sepenting jawatan menteri. Keadaan dan sistem yang
berbeza juga menyebabkan kita perlu menilai dan meneliti setiap
perbezaan ungkapan para ulama’. Yang salah bukan pandangan mereka,
tetapi kita yang sering silap menggunakan secara pukul rata untuk semua
perkara sedangkan konteksnya berbeza. Sistem pentadbiran negara Malaysia
yang berasaskan demokrasi berperlembagaan tidak sama dengan sistem
khalifah pada kurun-kurun awal Islam. Walaupun berkongsi istilah
seumpama menteri dan kementerian, namun ia belum tentu sama pada
perlaksanaannya.
20. Selepas tiada teks dalil yang
qat’ie (putus dan pasti) melarang daripada mengundi calon non muslim
dalam PRU, maka masolih mursalah menjadi sandaran kepada keharusan hukum
mengundi mereka. Ini kerana kita tidak boleh menafikan kewujudan mereka
di Malaysia yang mewakili hampir 40 peratus daripada jumlah keseluruhan
rakyat Malaysia. Mereka akan mewakili suara non muslim di dalam sidang
DUN atau Parlimen. Maka maslahat dan kepentingan wujud di sini untuk
didengar pandangan serta tuntutan mereka guna memelihara hak mereka yang
dijamin oleh Islam sebagai kumpulan minoriti.
21.
Jangan kerana ingin menang mudah dalam PRU dan menafikan hak orang lain,
dengan senang kita meletakkan hukum haram mengundi calon non muslim.
Tindakan ini bakal mematikan keanjalan dan kesyumulan syari’at Islam
sebagaimana para sahabat yang telah menyebabkan kematian sahabat mereka
sehingga ditegur oleh nabi SAW kerana kesilapan memberi fatwa.
Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA katanya:
أَصَابَ رَجُلًا
جُرْحٌ في عَهْدِ رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ثُمَّ احْتَلَمَ
فَأُمِرَ بِالِاغْتِسَالِ فَاغْتَسَلَ فَمَاتَ فَبَلَغَ ذلك رَسُولَ
اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فقال قَتَلُوهُ قَتَلَهُمْ الله أَلَمْ
يَكُنْ شِفَاءُ الْعِيِّ السُّؤَالَ
Maksudnya: Seorang lelaki
cedera pada zaman nabi SAW, kemudian bermimpi, disuruh kepadanya mandi,
lalu dia pun mandi dan meninggal dunia. Kisah itu sampai ke pengetahuan
nabi SAW lalu nabi bersabda: mereka telah membunuhnya, Allah akan
membunuh mereka. Bukankah ubat bagi orang yang tidak tahu adalah
bertanya. (Riwayat Abu Daud)
22. Kesimpulannya,
tiada dalil qat’ie yang melarang untuk mengundi calon non muslim dalam
PRU di Malaysia. Ia termasuk dalam siasah syar’iyah bagi pemerintah
untuk membenarkan pencalonan mereka atas dasar maslahat kumpulan
minorit. Wallahu a’lam.
Anhar Opir
29 Rabi’ al-Akhir 1434H
Sweileh, Amman