Wednesday, March 27, 2013

Jawapan dan Ulasan


Jawapan ISMA dan ulasan saya

25 03 2013

’11 soalan kepada ISMA‘ telah dijawab oleh Al Fadhil Ustaz Abdul Halim Abdullah, Unit Penerangan Biro Politik ISMA Pusat merangkap Exco Dakwah ISMA Pusat. Sebahagiannya menjawab persoalan tetapi sebahagiannya pula masih tidak merungkai sebaliknya menambah kekeliruan.

Saya sertakan ulasan ringkas saya pada setiap jawapan beliau yang masih belum jelas. Apapun, saya serahkan kepada umum untuk menilai. – HM

JAWAPAN KEPADA 11 SOALAN UNTUK ISMA

1. Melayu sepakat, Islam Berdaulat

Slogan yang dicadangkan oleh Timbalan Presiden ISMA Haji Aminuddin Yahaya dan dipersetujui oleh pimpinan ISMA ini secara jelas memberi jaminan bahawa Islam di Malaysia akan berdaulat jika kaum Melayu sepakat.
Persoalannya, bagaimana dengan tahun 1974 – 1978 apabila dua parti Melayu terbesar iaitu PAS dan Umno bergabung, adakah kedudukan Islam pada waktu itu lebih baik?

@ JAWAPAN : APABILA DUA PARTI MELAYU-ISLAM PERNAH BERSATU, UMAT ISLAM MENJADI DOMINAN DAN BERDAULAT DI BUMI MALAYSIA. TIDAK KEDENGARAN KETIKA ITU PARTI-PARTI BUKAN-ISLAM MENENTANG PERLAKSANAAN SYARIAT ISLAM SEPERTI HARI INI SEPERTI YANG DISUARAKAN OLEH DAP DAN MCA HARI INI.

Ulasan: Apa ukuran umat Islam dominan dan berdaulat yang dimaksudkan? Adakah Undang-Undang Islam telah tertegak pada waktu itu misalnya hukum Hudud dapat dilaksanakan? Atau nilai ekuiti dan pegangan saham orang Melayu Islam mencapai 40%?
Ustaz Halim perlu merujuk hansard parlimen untuk tempoh 1974 – 1977. Lim Kit Siang waktu itu ketua pembangkang di di samping ahli parlimen vokal Lee Lam Thye dan Dr Tan Chee Koon. Mereka begitu dominan membangkitkan isu-isu termasuk melibatkan kepentingan bukan Melayu dan bukan Islam.
Penentangan pelaksanaan syariat Islam bukan wujud lepas PRU 2008. Kenyataan Karpal Singh ‘langkah mayat saya dulu’ juga bukan diungkapkan mutakhir ini sebaliknya pada 17 Oktober 1990 sewaktu DAP tidak bersama dengan PAS.
Kenyataan atas angin tanpa fakta sebegini sedikit sebanyak merendahkan kewibawaan Ustaz selaku idealogue utama ISMA mahupun bakal calon Muslim berwibawa (jika dicalonkan). 

Jika Islam eksklusif untuk orang Melayu, bagaimana pula dengan Cina Muslim, India Muslim dan kaum-kaum lain beragama Islam di Malaysia? Adakah Melayu Islam lebih mulia berbanding Muslim dari kaum lain?

@ JAWAPAN : MELAYU SEPAKAT BUKAN BERMAKNA “ISLAM EKSKLUSIF UNTUK ORG MELAYU”. ELOK PERBETULKAN PEMAHAMAN TERHADAP SLOGAN ITU.

Ulasan: Sepatutnya slogan yang diperbetulkan bukan pemahaman orang terhadap slogan. Slogan yang baik akan menghasilkan pemahaman yang baik. 

2. PAS sepakat dengan Umno

ISMA konsisten mendesak agar PAS bersatu dan bersepakat dengan Umno kononnya untuk kedaulatan Islam. Malangnya, kewujudan ISMA adalah hasil kegagalan peristiwa ‘indimaj’ iaitu penggabungan tanpa penyertaan ahli antara tanzim Abu Urwah dan tanzim Ustaz Dahlan pada tahun 1995. Ini diakui sendiri oleh Ustaz Abdullah Zaik. Wajarkah satu pihak yang gagal dalam bersepakat tiba-tiba mengajar orang lain untuk bersepakat?

@ JAWAPAN : PENUBUHAN ISMA TAHUN 1997 ADALAH HASIL KESEPAKATAN BERSAMA PENCINTA-PENCINTA ISLAM, BUKAN “HASIL KEGAGALAN PERISTIWA-PERISTIWA BERBAGAI YG BANYAK BERLAKU DILEWAT TAHUN-TAHUN 2000AN, 10 TAHUN SELEPASNYA.

Ulasan: Ia rentetan peristiwa. Ia tidak dinafikan cuma interpretasi fakta sejarah yang berbeza. ISMA juga boleh menafikan kaitan dengan JIM tetapi umum maklum fakta sebenar. 

Telah wujud pelbagai jemaah yang memperjuangkan Islam di Malaysia. PAS, ABIM dan IKRAM. Jika benar ISMA memperjuangan kesepakatan Melayu Islam, mengapa diwujudkan lagi jemaah baru? Tidakkah lebih baik sertai dan kuatkan jemaah sedia ada?

@ JAWAPAN : MENGAJAK KEPADA KESEPAKATAN BERMAKNA MENGAJAK KEPADA DUDUK BERBINCANG BERSAMA DAN BERSEPAKAT DALAM AGENDA-AGENDA YG ADA KEPENTINGAN BERSAMA SEPERTI KEDUDUKAN ISLAM DALAM NEGARA MALAYSIA DAN NEGERI2 DIDALAMNYA, KEDUDUKAN, KESATUAN DAN KEKUATAN UMAT MELAYU-ISLAM SEBAGAI TUNGGAK DIDALAM NEGARA DSB. KESEPAKATAN BUKAN BERMAKNA MENGHALANG ORANG LAIN DARI MENYUSUN GERAK KERJA SESAMA MEREKA DALAM SUATU ORGANISASI YANG KEMAS DIDALAM IDEOLOGI YANG SAHIH YANG MEREA FAHAMI.

Ulasan: Duduk berbincang bersama antara pimpinan utama PAS dengan pimpinan utama Umno telah banyak berlaku. Samada terbuka atau tertutup. Malangnya Umno tikam belakang dengan mendedahkan pertemuan (yang tertutup) dan melaga-lagakan PAS dengan pengundi bukan Islam dan parti sekutu. Pasca 2008, pimpinan Umno juga yang mendedahkan rundingan antara PAS dengan Umno. Nak percaya lagi kah kalau begitu?

Kewujudan taadud jemaah memang dibenarkan. Tetapi bukankah lebih baik jika bergerak dalam satu platform yang sama. Kalaupun mahu mempelbagaikan platform, bukankah sepatutnya perlu saling mendokong dalam melaksanakan keraja Islam? Malangnya tindakan dan kenyataan ISMA seakan-akan mensabotaj perjuangan jemaah lain terutama PAS.

Terbaru menuduh PAS sebagai tidak releven. Adakah ini namanya saling sokong-menyokong?

3. Amanat Haji Hadi vs Amanat Dr Mahathir

Pada 4 Januari 2013, Presiden ISMA meminta agar Presiden PAS menarik balik ‘amanat Haji Hadi’ yang dibuat pada tahun 7 April 1981 di Banggol Peradong dengan alasan bahawa amanat itu telah menyebabkan perpecahan orang Melayu.

Persoalannya mengapa ISMA tidak mendesak Dr Mahathir supaya menarik balik kenyataan-kenyataan beliau yang memperlekehkan Hudud, menghina janggut Nabi Muhammad, menghina syariat Islam dan pelbagai lagi kenyataan yang dibuat sewaktu menjadi Perdana Menteri?

Adakah kenyataan Ustaz Hadi yang pada tahun 1981 hanya seorang AJK Pas Pusat (bukan ADUN, MP mahupun MB) lebih berpengaruh dan berbahaya berbanding kenyataan seorang Perdana Menteri yang juga presiden sebuah parti Melayu terbesar di Malaysia. Dr Mahathir memiliki akses pada segala bagai media arus perdana.

@ JAWAPAN : ISMA MENASIHAT KESEMUA PIHAK TANPA KECUALI DEMI MASLAHAT UMAT ISLAM.

KENYATAAN-KENYATAAN HAJI HADI DAN DR MAHATHIR TAHUN-TAHUN 1980AN (KETIKA ITU ISMA BELUM LAHIR) ATAU SEAKANNYA SEPERTI DIATAS SUDAH TIDAK KEDENGARAN HARI INI. MASYARAKAT HARI INI LEBIH PEKA ISLAM BERBANDING DULU.

Ulasan: Tidak kedengaran tetapi kenapa hanya amanat Haji Hadi yang perlu tarik? Saya belum dengar sebarang gesaan supaya Dr Mahathir juga tarik balik kenyataan beliau yang menghina Islam. Mengapa mengamalkan double standard dalam mengkritik?

ADAPUN MENGENAI PRESIDEN ISMA MEMINTA PRESIDEN PAS MENARIK BALIK “AMANAT TERSEBUT” (HAKIKATNYA IA ISI CERAMAH) ADALAH SEMPENA PIHAK AKHBAR MEMBANGKITKAN ISU TERSEBUT AWAL TAHUN INI.

Ulasan: Adakah pendirian dan kenyataan ISMA bergantung pada isu yang media bangkitkan? Jika media diam, maka ISMA pun diam?

Isu yang lebih mustahak tidak ditimbulkan malahan dalam kenyataan terbaru YDP ISMA Sungai Petani pada 22 Mac yang melihat isu keselamatan rahsia kerajaan lebih penting daripada isu penyelewengan PKFZ yang dibongkar Ong Tee Keat dan isu NFC yang dibongkarkan oleh Rafizi Ramli. Seolah-olah mahu isu PKFZ dan NFC ditutup oleh kerajaan.

SEBILANGAN PEMUKA PAS MENDAKWA BEBERAPA ORANG DALANG YANG TELAH KELUAR PAS YANG TERUS TERANG MENGKAFIRKAN ORG2 ISLAM/UMNO LALU MENYEMARAKKAN API TUDUH MENUDUH DALAM MASYARAKAT ISLAM.

HAKIKATNYA ISU KAFIR MENGKAFIR MASIH ADA DIKALANGAN SEGELINTIR MASYARAKAT KITA KHUSUSNYA DIBEBERAPA NEGERI DAN SEMAKIN KURANG KETARA. ISMA PERCAYA DENGAN PENARIKAN KEMBALI “AMANAT” TERSEBUT AKAN TERUS DAPAT MEMBENTERAS ISU KAFIR MENGKAFIR KE AKAR UMBI.

Ulasan: Kenyataan Ustaz bahawa masih ada ini berasaskan apa? Adakah Ustaz merujuk kajian yang dibuat oleh Prof. Dr Muhammad Salleh Lamry? Atau hanya sekadar merujuk Utusan Malaysia dan Buletin Utama?

Juga mengapa perlu mengambil masa selama 32 tahun untuk mengkaji ke’sesat’an amanat tersebut?

@ JAWAPAN : TANPA FOKUS KPD “AMANAT” TERTENTU, ISU KAFIR MENGKAFIR TELAH JELAS KEPADA PIMPINAN ISMA SEJAK KALI PERTAMA IA TERCETUS PADA TAHUN 1981, BERDASARKAN USUL 20 IMAM HASAN AL-BANNA, “KITA TIDAK MENGKAFIRKAN SESEORANG ISLAM YG MENGUCAP DUA KALIMAH SYAHADAH MELAINKAN 5 SYARAT2 KETAT”. TIDAK BENAR MEMERLUKAN 32 TAHUN UNTUK MENGKAJI “AMANAT” TERSEBUT.

4. Penglibatan dalam pilihanraya

Pada awal-awal penubuhan ISMA, salah satu modal yang digunakan untuk mengkritik jemaah PAS adalah kerana PAS terlibat dengan politik dan politik bagi ISMA adalah kotor.
Mengapa kini berubah? Adakan ISMA mengamalkan politik lidang bercabang?

@ JAWAPAN : PADA ISMA, POLITIK ATAU SIYASAH ADALAH SEBAHAGIAN DARI ISLAM. SEBAB ITU DALAM PENGAJIAN ISLAM ADA PENGKHUSUSAN SIYASAH SYARIYYAH (POLITIK ISLAM). “POLITIC IS DIRTY” ADALAH UNGKAPAN PIHAK LAIN, BUKAN ISMA.
BAHKAN RAMAI AHLI-AHLI ISMA SENDIRI SEBELUM PENGLIBATAN DALAM PRU13 INI TELAH TERLIBAT DALAM POLITIK DI MALAYSIA.

BAHKAN PENGLIBATAN ISMA DALAM PRU13 TELAH MEMBERI GAMBARAN KEPADA MASYARAKAT ISLAM DI MALAYSIA AKAN KESYUMULAN ISLAM YANG DIBAWA OLEH ISMA ITU SENDIRI SECARA TEORI DAN AMALI. INI SEBENARNYA MERUPAKAN HIKMAH YANG SANGAT BESAR, ALHAMDULILLAH.

Ulasan: Kesyumulan? Di mana yang syumul jika sekadar bertanding 20 kerusi? Bertanding biarlah dengan agenda membentuk kerajaan supaya dapat mewujudkan pemerintahan Islam. Bukan untuk tujuan kacau daun.

5. Bertanding di Kapar

Sebelum ini, ISMA menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi-kerusi majoriti Melayu yang ditandingi oleh calon bukan Islam samada belah BN atau PR. Salah satu yang menjadi tumpuan adalah Parlimen Kapar yang sebelum ini melibatkan calon India dari PKR (S. Manikavasagam) dan calon India dari MIC (P. Komala Dewi).

Hujah ISMA, calon Melayu mesti bertanding di kerusi majoriti Melayu. Tetapi apabila Datuk Abdul Rahman Palil (Ketua Umno Kapar) menyatakan hasrat untuk bertanding kerusi parlimen Kapar, tiba-tiba ISMA melalui ketua biro politiknya membuat kenyataan terbuka memohon agar Rahman tidak meneruskan hasrat bertanding di Kapar sekaligus memberikan peluang kepada ISMA.

Mengapa begitu? Bukankah Rahman Palil adalah calon Melayu? Jika Rahman Palil bertanding, ISMA sepatutnya membatalkan hasrat. Ataupun keperluan wakil rakyat Melayu hanya alasan semata-mata?

@ SIAPA YG AKAN BERTANDING HANYA AKAN DIKETAHUI DI HARI PENAMAAN CALON SAHAJA. SEBELUM DARI HARI TERSEBUT, KESEMUANYA NAMA-NAMA CALON ADALAH ANDAIAN, HARAPAN, BAHKAN ADA YANG KHABAR ANGIN SEMATA-MATA.

Ulasan: Kalau hanya andaian atau khabar angin mengapa Timbalan Presiden ISMA perlu meminta supaya Abdul Rahman Palil membatalkan hasrat? Saya merujuk kenyataan media beliau pada 20 Mac 2013.

OLEH KERANA ITU ISMA TIDAK BOLEH MEMBUAT KEPUTUSAN PADA HARI INI BERDASARKAN SIAPAKAH CALON-CALON PRU13 YANG AKAN DINAMAKAN PADA HARI PENAMAAN CALON.

DENGAN ITU ISMA MEMUTUSKAN UNTUK MENGHANTAR CALON-CALON MUSIM BERWIBAWA (CMB) BERDASARKAN REKOD PRU12 PENGGAL LALU, DAN DENGAN ANGGAPAN JUGA BAHAWA KEBANYAKAN CALON DIKEMUKAKAN BERDASARKAN KUOTA PARTI BAGI KAWASAN TERSEBUT, BUKAN BERDASARKAN CALON. CONTOH DI PARLIMEN YANG DIKHUSUSKAN UNTUK CALON DARI PARTI MCA, DAP ATAU MIC.
REKOD LALU, AMALAN KEBIASAAN DAN PENGALAMAN DI KAWASAN-KAWASAN SEERTI DIATAS SUDAH CUKUP UNTUK ISMA MEMBUAT KEPUTUSAN BERTANDING TANPA TERIKAT KEPADA SEBARANG KEPUTUSAN SAAT-SAAT AKHIR LUAR JANGKA DARI PARTI-PARTI LAWAN.

AKHIR SEKALI, YANG PALING ASASI DAN TERPENTING ADALAH KEPUTUSAN ISMA MELETAKKAN CALON ADALAH KERANA KEUNIKAN RISALAH YANG INGIN DISAMPAIKAN KEPADA PARA PENGUNDI DAN MASYARAKAT AWAM IAITU AMANAH (TIDAK KORUP), AKHLAK (TIADA MASALAH MORAL), KESETIAAN (TIDAK MENJAYAKAN AGENDA PIHAK ASING), KESEJAHTERAAN (ADIL DAN KEBAJIKAN KEPADA SEMUA BANGSA) DAN PERPADUAN (TIDAK BERSENGKETA DAN BERPATAH ARANG SEPERTI YG BANYAK KEDAPATAN HARI INI).

6. Lim Kit Siang bertanding di Gelang Patah

Setiausaha Biro Politik ISMA, Ustaz Hazizi Abdul Rahman menyelar Lim Kit Siang kerana ingin bertanding di Gelang Patah, Johor dengan alasan bahawa Lim Kit Siang mempunyai agenda tertentu.
Persoalannya apa agenda tertentu yang ISMA maksudkan? Adakah agenda tertentu itu adalah untuk memenangi kerusi sekaligus membentuk kerajaan pusat? Jika itu agendanya, bukankan semua maklum agenda DAP sejak ditubuhkan adalah menang pilihanraya dan menjadi kerajaan? Mana ada parti politik atau individu bertanding tanpa agenda.

@ JAWAPAN : MENANG PILIHANRAYA BUKAN SATU AGENDA. IA HANYA ALAT UTK MENCAPAI AGENDA.

CONTOH, PADA ISMA, AGENDANYA ADALAH UNTUK MEMIMPIN DAN MEMBIMBING UMAT, NEGARA DAN DUNIA DENGAN CAHAYA DAN AJARAN ISLAM YANG SUCI. DIANTARA JALAN ATAU ALATNYA ADALAH PILIHANRAYA.

ADAPUN DAP, ISMA MENGKRITIK LANTANG AGENDA-AGENDANYA YANG MENGATAKAN MALAYSIA ADALAH NEGARA SEKULAR, SEDANG PERLEMBAGAAN JELAS MENGATAAN ISLAM ADALAH AGAMA PERSEKUTUAN ATAU AGAMA MALAYSIA. DAP JUGA BERTEGAS HENDAK MENAMAKAN SALIB, NABI ISA, MARYAM IBU ISA DLL MAKHLUK DENGAN NAMA “ALLAH”. SEPATUTNYA DAP TIDAK BOLEH CAMPURTANGAN DALAM URUSAN AGAMA ISLAM.

Ulasan: Apa kaitan DAP campurtangan dalam urusan bukan Islam dengan kes Lim Kit Siang bertanding di Gelang Patah?

7. Larangan menjadikan orang bukan Islam sebagai pemimpin

ISMA juga menggunakan beberapa ayat Al Quran misalnya ayat 144 surah An Nisa, ayat 23 surah At Taubah dan ayat 51 surah Al Maidah sebagai alasan bahawa tidak boleh menjadikan orang bukan Islam sebagai pemimpin.

Persoalannya, bagaimana dengan ahli-ahli ISMA yang berkerja di tempat-tempat yang dipimpin oleh bos bukan Islam. Atau paling mudah, ahli ISMA yang bertugas sebagai doktor, ahli farmasi atau jururawat di hospital kerajaan? Bukankan pemimpin mereka iaitu Menteri Kesihatan Dato’ Sri Liow Tiong Lai adalah seorang bukan Islam?

Bagaimana juga dengan 11 menteri bukan Islam dalam kabinet?

@ JAWAPAN : MEMIMPIN NEGARA DAN MENJADI AHLI PARLIMEN YANG AKAN MEMBUAT UNDANG-UNDANG SELARI DENGAN SYARIAT ISLAM SUDAH SEMESTINYA MESTI TERDIRI DARI ORANG-ORANG ISLAM, KECUALI DALAM SEBILANGAN POS YANG TIDAK SENSITIF KERANA DARURAH, MAKA IA DIBOLEHKAN.

ISMA MENGAJAK AHLI DAN PENGUNDI ISLAM MENGUNDI CALON MUSLIM BERWIBAWA (CMB) SEBAGAI WAKIL RAKYAT DAN PEMIMPIN. ADAPUN MAJIKAN YG DILANTIK OLEH PIHAK TERTENTU, IA ISU LAIN.

SECARA PERIBADI, SAYA LEBIH CENDERUNG UNTUK MELANTIK SEORANG ISLAM SEBAGAI MENTERI KESIHATAN DAN POS-POS MENTERI YANG PENTING.

Ulasan: Kenyataan yang berubah-ubah dalam isu ini. Mula-mula melarang, kemudian setelah Tun Dr Mahathir ‘berdehem’ supaya undi calon bukan Islam Barisan Nasional tiba-tiba ISMA keluar kenyataan membenarkan dengan syarat-syarat tertentu.

8. Calon Muslim vs calon non Muslim

Di Melaka pada tahun 1994, ada seorang gadis bawah umur dirogol. Yang merogol gadis itu adalah seorang wakil rakyat Melayu beragama Islam. Manakala yang membela gadis itu adalah seorang wakil wakyat Cina beragama Buddha.

Jika kedua-dua wakil rakyat tersebut kembali bertanding dalam pilihanraya, siapakah yang akan diundi oleh ahli dan pendokong ISMA? (Dengan andaian ISMA atau mana-mana individu bebas tidak sempat menampilkan calon Melayu berwibawa kerana tempoh penamaan calon hanya sejam dan mereka tidak menjangka kedua-dua calon tersebut ditampilkan pihak PR dan BN).

@ KATA SEORANG SAHABAT NABI SAW KPD SEORANG PENYOAL, “DAK HATTA YAKUN” BERMAKSUD, “NANTIKAN IA BERLAKU, BARU SAYA AKAN BERI JAWAPAN”.

Ulasan: Kes sebegini (calon Muslim yang buruk moral lawan calon non Muslim yang baik) telah berlaku dalam pilihanraya yang lepas. Tak perlu tunggu PRU13.

BEGITU JUGA DI KAWASAN-KAWASAN PERLIMEN DAN DUN YANG DIPERTANDINGKAN DALAM PRU13 NANTI. KRITERIANYA ADALAH SIAPAKAH CALON YANG LEBIH HAMPIR KEPADA CIRI-CIRI “CALON MUSLIM BERWIBAWA (CMB)”.

9. Kuasa politik orang Melayu

ISMA menyatakan bahawa kuasa politik orang Melayu pasca PRU12 semakin merosot. Apa kriteria yang digunakan? Bukankan jumlah ahli parlimen Melayu meningkat daripada 123 orang dalam PRU11 kepada 130 orang dalam PRU12?
Hanya ahli parlimen Umno yang merosot daripada 108 orang kepada 77 orang.
Bukankan jumlah MB atau Ketua Menteri Melayu juga kekal? Lim Guan Eng yang menjadi KM Pulau Pinang hanya menggantikan Koh Tsu Koon, juga bukan Melayu.
@ JAWAPAN :

ISMA MENYAMBUT BAIK JIKA BILANGAN KERUSI WAKIL-WAKIL RAKYAT MELAYU-ISLAM BERTAMBAH DARI MASA KESEMASA.

Ulasan: Menyambut baik tetapi dalam masa yang sama melaungkan bahawa kuasa Melayu tergugat? Ramai pening kalau begini Ustaz termasuk ahli-ahli ISMA yang mengadu pada ana.

TETAPI DALAM MASA YANG SAMA ISMA SENTIASA MENGINGATKAN AGAR KUASA TAWAR MENAWAR POLITIK UMAT ISLAM SENTIASA BERTAMBAH DAN TIDAK MEROSOT. KUASA TAWAR MENAWAR INI MERUDUM DENGAN TERUK APABILA PARTI-PARTI BUKAN-ISLAM BOLEH BERSEPAKAT DALAM ISU PENDIDIKAN CINA, ISU PENOLAKAN SYARIAT ISLAM DI MALAYSIA DLL CONTOHNYA, SEDANGKAN DALAM MASA YANG SAMA PARTI-PARTI MELAYU-ISLAM LANGSUNG TIDAK DAPAT BERSEPAKAT DALAM MANA-MANA ISU KEPENTINGAN BERSAMA. KEMUNCAKNYA MEREKA TIDAK DAPAT BERSATU DALAM ISU TUNTUTAN BUKAN-ISLAM NAK GUNA NAMA TUHAN YANG MEREKA ORG ISLAM SENDIRI SEMBAH.

10. Perjuangan menegakkan Hudud

ISMA mengkritik PAS bahawa PAS sudah mula meminggirkan agenda Hudud. Jika begitu apa usaha ISMA dalam menegakkan Hudud? Sedarkan ISMA, bahawa Enakmen Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) telah digubal dan diluluskan di DUN Kelantan pada tahun 1993 dan DUN Terengganu pada tahun 2003 di bawah pemerintahaan PAS?

Mana blueprint Hudud milik ISMA?

@ JAWAPAN : ISMA MELIHAT PENEGAKKAN ISLAM ADALAH JAUH LEBIH LUAS DAN MENYELURUH BERBANDING ISU HUDUD. ISLAM BERSIFAT MENDIDIK DAN MEMBINA JIWA, AKHLAK, UMAT DAN NEGARA SEBELUM IANYA ADALAH DENDA DAN HUKUMAN. ISMA MAHUKAN UMAT INI MENJADI CONTOH DAN KUAT, LALU DAPAT MEMIMPIN DAN MEMBIMBING UMAT-UMAT LAIN, DAN BUKAN UMAT BERPENYAKIT, BERPECAH DAN LEMAH LALU DIHUKUM DAN DIDENDA.

Ulasan: Ini yang telah dan sedang dibawa oleh PAS. Malangnya ditentang oleh parti Melayu dan jemaah Melayu yang sentiasa memperlekeh.

SEBAGAI SEBUAH JEMAAH DAKWAH, ISMA MENGAJAK SEMUA PARTI-PARTI MELAYU-ISLAM AGAR DAPAT DUDUK BERSEPAKAT DALAM AGENDA-AGENDA ISLAM YANG PENTING. DALAM MASA YANG SAMA TIDAK BERKOMPROMI TERHADAP MANA-MANA USAHA YANG BOLEH MELEMAHKAN UMAT INI.

Ulasan: Mana blue print Hudud ISMA?

11. Hubungan intim dengan Umno

Apa hubungan ISMA dengan setiausaha politik Perdana Menteri Datuk Sahlan Ismail yang diketahui orang kuat PM dalam mengatur pelan strategik mendapatkan sokongan NGO Islam? Apa yang dibincangkan dalam pertemuan di bilik mesyuarat Yayasan Tun Razak.
Benarkah ISMA tidak mendapat dana dari Umno ataupun agensi kerajaan di bawah kerajaan Umno bagi tujuan program berunsurkan politik?

@ JAWAPAN : SEBAGAI NGO ISLAM YANG NON-PARTISAN, ISMA BERTEMU DENGAN BERBAGAI BADAN DAN PARTI DI MALAYSIA DI MANA-MANA KESEMPATAN TERMASUK UMNO, PAS, PKR, BERJASA DLL. DALAM USAHA MENGAJAK KEARAH KESEPAKATAN DAN PERPADUAN DI KALANGAN BADAN-BADAN ISLAM, ISMA MEMILIH UNTUK TIDAK MELEBELKAN MANA-MANA PIHAK SEBAGAI MUSUH ATAU SETERU POLITIK.

Ulasan: Adakah Ustaz faham maksud non-partisan? ISMA dah umum sertai politik kepartian. Automatik menjadi NGO yang partisan.

ADAPUN MENGENAI PENGLIBATAN DALAM PRU13, IA ADALAH KEPUTUSAN MAJLIS SYURA ISMA PADA 26 JANUARI 2013, DAN BUKAN ATAS TAJAAN, PELAN STRATEGIK PIHAK-PIHAK TERTENTU ATAU LAIN-LAIN SEBAB YANG DISYAK WASANGKA OLEH ORANG. ISMA MENGAJAK SEMUA PIHAK KEPADA FIRMAN ALLAH SWT BERMAKSUD, WAHAI ORG2 BERIMAN, JAUHI BANYAK BERSANGKA-SANGKA. SUNGGUH SEBAHAGIAN SANGKAAN ITU ADALAH DOSA..” (AL-HUJURAAT).

Ulasan: Peringatan yang baik supaya kita elakkan sangkaan buruk. Tetapi ini tidak bermakna kita tidak boleh bertanya. Ustaz mungkin lebih arif tentang kisah pertanyaan Nabi Ibrahim a.s. kepada Allah SWT dalam meminta bukti kekuasaan Allah SWT dan kisah pertanyaan Allah SWT kepada Nabi Isa a.s. dalan isu tiga tuhan.

Kesimpulannya, jawapan yang diberikan oleh pihak ISMA masih tidak merungkai persoalan. Apapun, terpulang kepada pimpinan ISMA samada mahu menjawab semula atau membiarkan rakyat khususnya umat Islam di Malaysia terus dibelenggu kekeliruan.

http://hasbiemuda.wordpress.com/2013/03/25/jawapan-isma-dan-ulasan-saya/